Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 07 OKTOBER 2022 : Kerajaan Pahang hari ini mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan sebanyak satu setengah bulan gaji kepada 8,000 penjawat awam negeri ini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata sebanyak RM33 juta telah diperuntukkan bagi Bantuan Khas Kewangan ini oleh Kerajaan Negeri.
“Saya menjangkakan ramai yang ternanti-nantikan pengumuman berita baik kepada 8,000 penjawat awam Kerajaan Negeri Pahang. Sesungguhnya, Kerajaan Negeri tidak pernah melupakan jasa dan komitmen penjawat awam Negeri Pahang dalam memastikan agenda pembangunan negeri dan masyarakat dapat dicapai.
“Sebagai penghargaan dan sanjungan tinggi kepada kakitangan awam yang sentiasa mendukung aspirasi serta agenda kemajuan Negeri Pahang, Kerajaan Negeri Pahang berbesar hati memberikan Bantuan Khas Kewangan sebanyak satu setengah bulan gaji kepada setiap penjawat awam di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Pahang Tahun 2023 di Wisma Sri Pahang hari ini.
Beliau berkata pembayaran bantuan kewangan ini akan dilakukan kepada semua penjawat awam Kerajaan Negeri Pahang pada tahun ini dan tahun hadapan.
“Bayaran ini akan dikreditkan kepada mereka sebanyak satu bulan gaji pada tahun ini dan setengah bulan lagi pada Januari 2023 dan melibatkan peruntukan sebanyak RM33 juta.
“Ini adalah kerana kita berjaya mendapat RM1 bilion (kutipan hasil). Usaha keras mereka harus kita hargai dah sanjungi,” katanya.
Beliau sebelum ini pernah menyatakan akan mempertimbangkan kenaikan jumlah bonus kepada kakitangan Kerajaan Negeri Pahang pada tahun hadapan sekiranya Kerajaan Negeri Pahang berjaya mencapai kutipan hasil RM 1 bilion seperti yang disasarkan. -PAHANGMEDIA