KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah bersama KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj berkenan melihat pakaian yang dihasilkan daripada kain Tenun Pahang Diraja yang dibuat oleh banduan di Penjara Penor ketika Majlis Perasmian Simposium Tekstil Tradisional ASEAN Ke-8 di Hotel Marriott Putrajaya Isnin lalu.

USAHA KDYMM RAJA PERMAISURI AGONG JADIKAN PENJARA SEBAGAI TEMPAT HASILKAN KAIN TENUN PAHANG DIRAJA, LAHIR TENAGA MAHIR DALAM KALANGAN BANDUAN

Oleh: Zulkhairil Zainuddin
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

PUTRAJAYA, 28 SEPTEMBER 2022 : Jabatan Penjara Malaysia menjunjung kasih dan menghargai keprihatinan serta sokongan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj dengan menjadikan Penjara Penor dan Penjara Bentong sebagai tempat untuk menghasilkan kain Tenun Pahang Diraja.

Pengarah Penjara Negeri Pahang, YBhg. TKP Dato’ Abu Hasan Hussain berkata, keprihatinan KDYMM Raja Permaisuri Agong itu telah memberi peluang kepada banduan untuk menjadi tenaga mahir dan profesional dalam penghasilan kain Tenun Diraja Pahang yang berkualiti tinggi.

Antara kain Tenun Pahang Diraja yang dihasilkan oleh banduan dipamerkan pada Simposium Tekstil Tradisional ASEAN Ke-8 di Hotel Marriott Putrajaya.

Menurutnya, ini dapat dibuktikan apabila penghasilan kain Tenun Pahang Diraja ini telah mendapat tempat dalam kalangan penggemar-penggemar fabrik seluruh dunia terutamanya ketika Pameran London Craft Week pada bulan Mei lalu.

“Alhamdulillah, hasil kerja banduan dalam penghasilan kain Tenun Pahang Diraja telah dipamerkan di London Craft Week dan Jabatan Penjara Malaysia amat menghargai keprihatinan dan sokongan KDYMM Raja Permaisuri Agong atas peluang ini.

“Setakat ini sudah beribu-ribu pasang kain Tenun Pahang Diraja telah terjual terutamanya di Galeri Tenun Bandar di Jalan Penjara, Kuantan serta Galeri Ibu Pejabat Penjara Malaysia di Kajang,” katanya.

Pengarah Penjara Negeri Pahang, YBhg TKP Dato’ Abu Hasan Hussain.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di Simposium Tekstil Tradisional ASEAN Ke-8 2022 di Hotel Marriott Putrajaya, hari ini.

Beliau juga berkata, dengan tertubuhnya Perkampungan Al-Sultan Abdullah nanti, ia akan memberi lebih peluang kepada bekas banduan untuk menghasilkan kain Tenun Pahang Diraja dengan lebih aktif lagi dan seterusnya dapat menjualnya di perkampungan itu sendiri.

Katanya, bekas banduan yang akan menghuni di perkampungan itu juga akan dipilih dan juga secara sukarela tetapi berdasarkan kemahiran mereka dalam penghasilan kain Tenun Pahang Diraja agar kain tenun yang dihasilkan itu benar-benar berkualiti.

Menceritakan mengenai sejarah penghasilan Tenun Pahang Diraja di penjara, Dato’ Abu Hasan berkata, atas idea serta inisiatif daripada KDYMM Raja Permaisuri Agong sendiri, Tenun Pahang Diraja bermula di Penjara Penor pada tahun 2006 dan kemudiannya diperluaskan di Penjara Bentong.

Sepanjang tempoh tersebut, Jabatan Penjara mengalami satu proses yang cukup besar di mana ia bermula dengan dua orang penenun dan sehinggalah kini sudah ada 200 orang penenun.

“Di Penjara Penor ia bermula daripada satu ruang untuk menenun dan kini sudah ada lima ruang yang kita namakan Kompleks Tenun Pahang Diraja, manakala di Penjara Bentong pula kita ada satu blok bengkel Tenun Pahang Diraja yang kita naik taraf dan perluaskan dari segi pengeluaran,” katanya.

Beliau juga berkata, banduan-banduan yang dipilih untuk penghasilan tenunan ini adalah mereka yang terdiri daripada banduan yang telah melepasi fasa 2 dan berada dalam fasa 3 iaitu fasa kemahiran selain banduan-banduan ini mempunyai minat dalam bidang tenunan dan juga kraf.

Menurut beliau lagi, selain menghasilkan produk-produk di penjara, setiap banduan ini juga berpeluang untuk memperoleh pendapatan hasil jualan produk tersebut menerusi satu skim di bawah akaun amanah dan apabila mereka dibebaskan nanti, mereka sudah mempunyai pendapatan yang boleh menampung diri mereka dan juga keluarga selaian mempunyai kemahiran yang tinggi.

“Untuk banduan-banduan ini, mereka perlu mengambil peluang ini untuk bekerja di bengkel tenun. Dengan kemahiran dan sokongan daripada KDYMM Raja Permaisuri Agong, ia telah memberi semangat dan tarikan kepada banduan untuk mereka hasilkan kain Tenun Pahang Diraja yang betul-betul berkualiti,” katanya.-PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram