Oleh: Zulkhairil Zainuddin’
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
PUTRAJAYA, 28 SEPTEMBER 2022: Generasi muda hari ini perlu didedahkan dengan industri tekstil seperti tenunan tangan agar warisan pembuatan ini tidak lupus ditelan zaman dan dapat diteruskan pada masa hadapan.
Pereka dan Pengasas IKAT Indonesia, Didiet Maulana berkata, pada masa ini sangat sukar untuk mencari artis muda yang bekerja dalam penghasilan fabrik tenunan tangan berbanding generasi yang lebih tua.

Beliau berkata, sebagai pengganti, generasi muda adalah penting untuk mengekalkan identity dan budaya negara dan pemeliharaan tenunan tangan tradisional adalah salah satu yang paling penting tetapi kadangkala diabaikan.
Ini kerana katanya, terdapat cabaran kerana kekurangan pendidikan dan program yang tersedia untuk penjanaan semula penenun tangan.
“Ini adalah cabaran untuk kita meningkatkan keprihatinan dalam kalangan belia untuk mengekalkan warisan nenek moyang yang membentuk budaya bangsa kita.
“Ia adalah menjadi tanggungjawab bersama semua sektor masyarakat supaya berkongsi komitmen memelihara warisan seperti penguasaan tenunan tangan,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Weaving the Future: Passionate Hands of the New Generation’ pada Simposium Tekstil Tradisional ASEAN Ke-8 2022 di Hotel Marriott Putrajaya, hari ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandarian Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj berkenan untuk turut serta dalam simposium tersebut.
Selain Didiet Maulana, peserta dari Malaysia, Nini Marini Ramlan yang menggelarkan dirinya sebagai multi-artis dengan sentuhan virtuoso membentangkan kertas kerja yang bertajuk ‘Textiles through the Eyes of a Multi-artist’ menceritakan tentang pengalamannya dalam seni kreatif
Berpengalaman selama 20 tahun dalam industri televisyen, Nini Marini membuat keputusan untuk bersara dan memberi tumpuan kepada bidang perniagaan seni dan kreativiti.
Kedua-dua sifat itu yang pelbagai dan mengejar artistik telah membawanya untuk bereksperimen dengan banyak bentuk seni pada keluarga spektrum seperti media campuran, video, fotografi, lukisan dan kraf tekstil.

Berdasarkan beberapa siri projek sama ada secara solo dan kolaboratif, Nini Marini melalui perjalanan seninya dan berkongsi renungannya tentang apa yang dimaksudkan oleh tekstil kepadanya.
Sebagai artis, Nini Marini berkongsi pengalamannya dengan percetakan digital, melukis fabrik buluh, mencelup tali leher dan juga menganyam dengan t-shirt hasil daripada menggabungkan disiplin seni atau menggunakan teknologi untuk memudahkan kaedah tradisional.
Selain itu, enam lagi pembantang telah membentangkan kertas kerja mereka pada simposium hari ini iaitu peserta dari Kemboja, Tex Simheang yang membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Khmer Golden Silk Textile in Cambodia During Covid19’.
Kemudiannya peserta dari Thailand, Prang Rojanachotikul dengan kertas kerjanya bertajul ‘Recognizing the Marginalized: A Contemporary Perspective on Ethnic Textiles Practice in Northern Thailand’.
Seorang lagi pembentang dari Malaysia iaitu Suryani Senja Alias yang mewakili Tan Sri Dr. Ungku Zeti Aziz membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Dari Mana ke Mana – Tracing the Past to Forge a Future: Malay World Textiles Through the Lens of Azah Aziz’.

Peserta dari Singapura, Kennie Ting pula membentangkan kertas kerja bertajuk ‘BATIK KITA – Exploring Batik from a Port City Perspective’.
Seterusnya seorang lagi peserta dari Indonesia, Assoc. Prof. Dr.Farid Abdullah Prijadi mengambil giliran untuk membentangkan kertas kerjanya bertajuk ‘Batik Corona : How Indonesian Response to Face Frightening Pandemic with an Aesthetic Transformation’.
Manakala peserta terakhir untuk simposium ini adalah peserta dari Loas, Mrs. Souvita Phaseuth yang membentangkan kertas kerja yang bertajuk ‘Celebrating 25 years of the Lao Handicraft Association: Textiles of Laos’.-PAHANGMEDIA