Oleh : Mahathir Ali
PEKAN, 28 OGOS 2022 : Kerajaan Pahang sedang giat melaksanakan pelbagai projek bekalan air di Pekan termasuk mengatasi masalah bekalan air di Kampung Orang Asli Simpai di sini.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, masalah bekalan air di kampung berkenaan telah dapat diatasi melalui peruntukan kerajaan dengan melaksanakan beberapa projek.
“Pihak PAIP bersama Felda Waters telah melaksanakan projek seperti pembinaan tangki perkhidmatan, pemasangan paip-paip baharu, pembinaan tangki simpanan di setiap rumah dan pemasangan meter individu di rumah bagi tujuan pembekalan air bersih ke rumah-rumah penduduk.

“Kampung Simpai ini merupakan salah satu diantara kampung Orang Asli yang Kerajaan Negeri sediakan bekalan air sebaiknya. Projek bekalan air seperti ini turut dilaksanakan di kampung Orang Asli lain iaitu di Kg Api Larat, Kg Selingkong dan Tasik Mentiga di Chini.
“Namun begitu di Kg Api Larat dan Kg Selingkong, bekalan air masih boleh ditambah baik lagi selepas projek bekalan air Nenasi siap sepenuhnya dijangka September 2023. Ini termasuklah juga bekalan air di Merchong yang selama ini bergantung bekalan air dari Rompin,” katanya di sini.
Beliau berkata, apabila siapnya projek ini, dijangkakan seluruh Kg Merchong dapat menerima bekalan air dari tangki Nenasi yang menerima air loji Ganchong.
“Malah projek retikulasi di Kg Api Larat, Simpai, Tasik Mentiga dan Selingkong yang dianggarkan hampir RM60 juta (libatkan Daerah Pekan, Kuantan, Rompin dan Raub) juga sedang dilaksanakan dan ianya kini hampir siap.
“Semua projek ini sedang giat dilaksanakan malah ingin saya maklumkan bahawa kawasan Gemuruh juga kini tidak lagi menghadapi masalah bekalan air selepas pemasangan pam dan paip di Rumah Pam Gemuruh, siap sepenuhnya,” katanya. – PAHANGMEDIA