Oleh : Ain Nadhirah Basha
ROMPIN, 28 OGOS 2022 : Kerajaan Pahang meraikan golongan ibu dan bapa di negeri ini dalam satu sambutan yang julung kali diadakan dalam Sambutan Hari Ibu dan Bapa Peringkat Negeri Pahang.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata sambutan dengan tema KASIH Ibu Selamanya, KASIH Bapa Pelindung Keluarga adalah tanda penghargaan Kerajaan Pahang kepada golongan ini.
“Sebagai penghargaan terhadap pengorbanan ibu bapa, Kerajaan Negeri Pahang melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), meraikan para ibu dan bapa melalui Sambutan Hari Ibu dan Bapa dengan tema istimewa pada tahun ini, KASIH Ibu Selamanya, KASIH Bapa Pelindung Keluarga.
“Program pada hari ini bertujuan bagi menghargai komitmen ibu dan bapa dalam mendidik dan membesarkan anak-anak. Kesungguhan dan komitmen inilah yang membentuk sebuah keluarga yang bahagia dan sejahtera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Ibu Dan Bapa Tahun 2022 Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Rompin.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Exco Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin; dan Ahli Parlimen Rompin, YB. Dato’ Sri Hasan Arifin.
Hadir sama, Exco Sumber Manusia, Belia, Sukan, dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Tioman, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain; ADN Bukit Ibam, YB. Datin Shamsiah Arshad; ADN Muadzam Shah, YB. Ir. Razali Kasim; Yang Di-Pertua Dewan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhamad; dan Pegawai Daerah Rompin, YH. Dato’ Ahmad Nasim Mohd Sidek.
Beliau berkata sambutan pada hari ini juga turut mengiktiraf ibu bapa yang telah berjaya membentuk anak-anak menjadi golongan yang cemerlang.
“Sambutan ini juga bagi mengiktiraf ibu bapa yang berjaya membentuk anak-anak sehingga berjaya dengan cemerlang.
“Tadi ada (penerima anugerah ) beritahu saya, dia ada anak empat orang, dan keempat-empat anaknya mempunyai profesion yang berbeza, ada yang jadi peguam, akauntan, doktor, dan jurutera. Alhamdulillah.
“Jadi kita iktiraf dan hargai jasa ibu dan bapa dan seperti mana yang kita tahu, (peranan) ibu dan bapa ini saling lengkap melengkapi antara satu sama lain,” katanya.
Tambah beliau lagi, sambutan seumpama ini akan diteruskan lagi pada tahun-tahun hadapan di daerah lain. -PAHANGMEDIA