Oleh: Mahathir Ali
PEKAN, 28 OGOS 2022 : Kampung Orang Asli Simpai dan Kampung Runchang di sini akan mendapat perkhidmatan internet yang lebih baik dijangka penghujung tahun 2022.
Ini berikutan pelaksanaan dua menara komunikasi baharu yang akan dibina masa terdekat di kedua-dua kampung tersebut dibawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, ini adalah usaha Kerajaan Negeri Pahang bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memperluaskan liputan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan internet di seluruh negeri Pahang.

“Saya dan Pengarah SKMM Pahang, Encik Mohd Faisal Md Nor telah menerangkan perkembangan ini pada seisi taklimat kepada kepimpinan dan penduduk sempena lawatan kerja saya ke Kampung Simpai.
“Saya juga selepas itu merasmikan Taklimat Keselamatan TNB serta meninjau Projek Bekalan Air Kampung Simpai bersama pihak PAIP, Felda Waters, PLB dan wakil pejabat Menteri Besar,” katanya di sini.
Beliau berkata, untuk makluman, sebanyak 22 menara baharu akan dibina di Daerah Pekan di bawah JENDELA di mana dua menara telah siap iaitu di Kampung Alor Akar dan Kampung Langgar.
“Selain dari Kg Simpai dan Kg Runchang, kampung lain yang terlibat antaranya KOA Sawah Batu, Ladang Bebar Selatan dan Utara, Kg Pelak, Kg Menchupu, Kg. Pulau Rumput, Kg Ketapang, Ulu Gumum, Kg. Tanah Merah, Taman Negeri Sungai Pandan, Kg Permatang Siput, KOA Jong, Ladang Bukit Payong, Ladang Sg Merchong dan Kg Pulau Rusa.
“Pada masa sama, usaha naiktaraf stesen pemancar sediada ke rangkaian 4G di Daerah Pekan juga telah siap sepenuhnya diantara bulan Januari hingga Jun yang lalu dimana sebanyak 133 stesen pemancar telah dinaiktaraf termasuk stesen pemancar di Kg Sohon Dalam dan Luar yang juga beri perkhidmatan hingga ke Kg Simpai ini,” katanya. – PAHANGMEDIA