Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 15 JULAI 2022 : Prestasi kutipan zakat di seluruh Pahang bagi separuh tahun pertama 2022 mencatatkan peningkatan sebanyak 14.7 peratus atau RM10.5 juta berbanding tempoh sama tahun 2021.
Penyumbang terbesar bagi kutipan zakat harta tahun ini ialah sumbangan daripada sektor potongan gaji sebanyak RM33.6 juta manakala sumbangan daripada zakat perniagaan termasuklah badan-badan korporat dengan sumbangan sebanyak RM18 juta.
Jumlah pembayar zakat harta pula meningkat kepada 85,131 orang dengan jumlah bayaran sebanyak RM81.9 juta berbanding 82,762 dengan jumlah RM71.4 juta pada tempoh sama tahun 2021.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga Tuanku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) telah berkenan menerima bayaran zakat di Istana Abdulaziz di sini hari ini.

Sebanyak RM15.7 juta bayaran zakat telah diterima daripada FGV Holdings Berhad (RM11.8 juta), Kumpulan Alam Flora (RM1.9 juta), YP Plantation Holdings Sdn Bhd (RM1.25 juta), Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) (RM609,220.95) dan Syarikat Takaful Malaysia Berhad (RM150,000).
Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang opitimis untuk mencapai sasaran kutipan zakat sebanyak RM194 juta dengan pembayar seramai 100,800 orang pada tahun 2022 berdasarkan sokongan baik daripada badan-badan korporat dan masyarakat.
Pihak MUIP juga telah meluluskan skim pemulangan semula zakat potongan gaji atau dikenali sebagai skim wakalah sekolah yang dibuat oleh kakitangan sekolah berdasarkan kriteria yang disyaratkan.
Antara syarat yang ditetapkan bagi membolehkan tuntutan pemulangan semula wang zakat ialah 90 peratus kakitangan muslim berzakat melalui potongan gaji, amaun bulan melebihi RM1,000 bagi sekolah rendah dan melebihi RM2,500 bagi sekolah menengah.
Pemulangan yang diperoleh oleh pihak sekolah boleh dimanfaatkan untuk agihan kepada asnaf di sekolah masing-masing termasuklah pelajar miskin, pelajar mualaf dan kelas fardhu ain mualaf, penyelenggaraan / kelengkapan surau sekolah dan penganjuran aktiviti keagamaan / kerohanian. – PAHANGMEDIA