Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
TEMERLOH, 15 JULAI 2022 : Guru-guru dan Penyelia Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) dari Daerah Temerloh dan Jerantut melahirkan rasa gembira apabila menerima insentif oleh Kerajaan Pahang.

Seorang guru KAFA Daerah Jerantut, Puan Julia Jusoh berkata, insentif yang diberikan oleh pihak kerajaan membuktikan keprihatinan terhadap rakyat khususnya guru-guru KAFA.
“Alhamdulillah, terima kasih kepada YAB Menteri Besar kerana bagi insentif untuk guru-guru KAFA, dengan insentif ini dapat juga membantu perbelanjaan untuk guru-guru KAFA,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang.
Bagi seorang guru KAFA Daerah Jerantut, Encik Mohd Nasrul Hadi Harun, insentif yang diberikan oleh Kerajaan Pahang ini adalah sangat dan bertepatan dengan waktunya selepas umat Islam baru sahaja meraikan Hari Raya Aidiladha pada minggu lalu.

Justeru, beliau berpendapat usaha ini perlu diteruskan pada masa akan datang sebagai sokongan kepada guru-guru dan penyelia KAFA dalam memberi khidmat untuk mencurah ilmu membentuk anak bangsa yang celik Al-Quran.
“Alhamdulillah kami pada hari ini selaku guru KAFA Negeri, saya mewakili Daerah Jerantut sangat bersyukur dengan pemberian insentif untuk guru-guru KAFA pada hari ini.
“Kepada Kerajaan Negeri Pahang juga saya mengucapkan terima kasih banyak-banyak kerana pemberian insentif bernilai RM300 untuk guru KAFA pada hari ini,” katanya.
Manakala seorang lagi guru KAFA Daerah Temerloh, Cik Wan Aina Fatima Wan Jamalludin turut menyatakan rasa syukur dan gembira dengan insentif yang diberikan dan berterima kasih kepada Kerajaan Pahang.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang kerana memberikan sumbangan kepada guru-guru KAFA di Daerah Temerloh dan seluruh Pahang,” katanya.
Kesemua penerima dari dua daerah Temerloh dan Jerantut telah menerima insentif masing-masing sebanyak RM300 seorang yang disampaikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Dewan Dato’ Zaharuddin Abu Kassim, Kampung Peragap, Kerdau di Temerloh. – PAHANGMEDIA