Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
JERANTUT, 26 JUN 2022 : Pencapaian cemerlang Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Pahang dijangka dapat memenuhi sasaran yang ditetapkan iaitu “Road to RM1 Billion Turnover 2025”.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata berdasarkan rekod Suruhanjaya Koperasi Malaysia, perolehan atau turnover Gerakan Koperasi di Pahang pada tahun lalu iaitu dari 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2021, adalah berjumlah RM860.53 juta sekaligus menjadi perolehan kedua tertinggi di Malaysia selepas Wilayah Persekutuan.
“Sasaran (RM1 bilion) itu diletakkan oleh SKM cawangan Pahang kerana setakat ini mereka sudah pun berjaya capai RM890 juta dan sekarang baru bulan Jun.. jadi untuk dapat lagi RM110 juta tu tak jadi masalah.
“Sasarannya memang tepat dan sepatutnya mereka sasar lebih lagi. Kita harap SKM Pahang dapat sasar dan capai lebih lagi pada tahun hadapan,” katanya.
Turut hadir YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato ‘ Sri Dr Salehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Negeri Pahang, Encik Radiatul Fitri Dollah, barisan exco negeri serta pemimpin setempat.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata Pahang turut mempunyai koperasi pertama yang berdaftar pada tahun 1926 dan masih kekal relevan sehingga hari ini.
“Koperasi di Pahang bermula pada tahun 1926 dan yang menariknya, antara koperasi terawalyang ditubuhkan serta masih beroperasi dan semakin aktif hingga ke hari ini adalah Koperasi Pegawai-Pegawai Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur Berhad yang didaftarkan pada 1 Januari 1926.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan sekalung tahniah kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia kerana berjaya memantau dan mengawal selia koperasi di seluruh negara. Kejayaan Suruhanjaya Koperasi Malaysia ini terbukti apabila masih ada koperasi yang mampu bertahan dan
kekal aktif sehingga mencecah 100 tahun,” katanya.
Sementara itu beliau turut menegaskan berkenaan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap masalah dihadapi Koperasi Felda.
“Melalui Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada 5 Januari 2022, Kerajaan Negeri telah meluluskan cadangan pemberimilikan tanah Kerajaan di bawah seksyen 76 Kanun Tanah Negara (Akta 828) atau di bawah seksyen 10 Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960, bagi tujuan tapak bangunan, perindustrian dan pertanian kepada syarikat kerjasama Koperasi Felda dalam kawasan penempatan
berkelompok, bagi kawasan-kawasan yang telah dibangunkan sahaja.
“Dengan adanya pemilikan tanah ini akan meningkatkan lagi jumlah aset koperasi serta dapat membangunkan lagi Koperasi Felda di negeri ini,” katanya.
Beliau turut menyeru kepada koperasi- koperasi di negeri Pahang agar memperkasakan diri dan meningkatkan daya saing agar dapat terus maju ke
hadapan serta merebut peluang-peluang ekonomi yang tersedia, Bersatu padu, serta saling bekerjasama dan bekerja keras untuk membuat perubahan ke arah transformasi Pahang menjadi negeri yang lebih maju. -PAHANGMEDIA