Oleh : Fairus Mohd
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
CAMERON HIGHLANDS, 28 JUN 2022 : Simulasi bengkel pengurusan bencana Siri 2/2022 anjuran Jabatan Penerangan bersama Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Cameron Highlands dilihat dapat membantu pengurusan anggota dan aset secara cekap serta sentiasa dalam keadaan siap siaga.
Pengarah Penerangan Negeri Pahang, Tuan Haji Sabarudin Yeop Hamza berkata, simulasi ini turut melibatkan pengurusan media oleh 30 orang Pegawai dari Jabatan Penerangan seluruh Malaysia.

Menurutnya, penganjuran program ini amat penting dalam memastikan setiap aset keselamatan sentiasa berada dalam keadaan yang baik.
“Simulasi ini adalah satu gerak kerja yang memberi gambaran berkenaan usaha dan siap siaga agensi keselamatan di peringkat pusat dan negeri yang sentiasa bersedia.
“Dari aspek media pula, kita menghadapi zaman ledakan maklumat yang tidak terkawal sekarang terutamanya maklumat palsu, jadi ini adalah cara untuk Jabatan Penerangan menangkis sebarang maklumat atau berita palsu berkenaan sesuatu kejadian atau bencana.

“Orang ramai akan mendapat maklumat yang tepat dan dari sumber yang sah, ia akan menenangkan keadaan dalam situasi bencana. Kita adakan hebahan, aturkan sidang media untuk siapa yang akan menjawab atau memberi kenyataan, jadi pengurusan yang baik ini memastikan tidak akan berlaku penyebaran berita atau maklumat yang tidak betul,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) pada Majlis Pengurusan Media Bersama Agensi Keselamatan serta simulasi pengurusan krisis dan bencana Siri 2/2022 bersama Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dikendalikan Peringkat Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini.
Dalam pada itu Pegawai Daerah Cameron Highlands, Tuan Syed Ahmad Khirulanuar Alyahya Syed Abdul Rahman berkata, penganjuran siri kedua ini diharap memberi ruang kepada setiap agensi melengkapkan diri samada PKOB dan juga media untuk bekerjasama erat apabila berlakunya bencana dan dalam proses mengurus dan mengawal selia bencana.
“Kita harapkan program sebegini dapat diperluaskan, kawasan tanah tinggi Cameron Highlands ini sangat terdedah kepada tanah runtuh, kadang hujan sedikit pun boleh berlaku banjir kilat.. Cuma yang lebih terdedah ialah kepada kejadian tanah runtuh dengan faktor utama seperti keadaan tanahnya dan taburan hujan.

“Keadaan ini sangat memerlukan perancangan dan penyelarasan kerja bagi kerja-kerja menyelamat dan pengurusan yang cukup kemas, jadi pemilihan tempat ini adalah amat sesuai,” katanya.
Menurutnya lagi, simulasi yang diadakan akan menjadikan usaha mengawal, menyelamat dan penyaluran maklumat yang lebih strategik, selaras, cepat kaedahnya dan juga secara tepat sekaligus memastikan nyawa, harta dan keadaan semasa dapat dijaga dan dikawal dengan baik. – PAHANGMEDIA