YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika Majlis Pecah Tanah Projek Menaik Taraf Sistem Bekalan Air di Kampung Bukit Kuin, Kuantan di Perkarangan Masjid Al-Amin Kampung Bukit Kuin 2 di Kuantan.

KERAJAAN PERUNTUK RM5.7 JUTA NAIK TARAF SISTEM BEKALAN AIR BUKIT KUIN

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 25 JUN 2022 : Kementerian Kewangan menerusi Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah memperuntukkan sebanyak RM5.7 juta bagi menaik taraf sistem bekalan air di kawasan Bukit Kuin, Kuantan.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek menaik taraf sistem bekalan air ini dijangka akan siap pada April tahun hadapan dan usaha ini akan diteruskan dengan perlaksanaan 70 projek seluruh Pahang dengan jumlah peruntukan RM184.4 juta menerusi Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP).

“Semua tempat yang ada masalah air kita telah dekati, kita telah pergi dan kita telah pun mendapat laporan dan kita telah memohon peruntukan.

“Hari ini kita beritahu kita telah ada RM5.7 juta dan akan siap (menjelang) April, insyaa Allah, saya juga telah meminta agar kontraktor dapat menyiapkan projek mengikut jadual atau pun siap lebih awal adalah bonus bukan sahaja kepada kontraktor tetapi juga kepada rakyat yang dapat menerima bekalan (air) yang lebih cepat daripada sepatutnya,” katanya.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pecah Tanah Projek Menaik Taraf Sistem Bekalan Air di Kampung Bukit Kuin, Kuantan di Perkarangan Masjid Al-Amin Kampung Bukit Kuin 2 di Kuantan.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Kewangan 1, YB. Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah, Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Lembing, YB. Dato’ Haji Md Sohaimi Haji Mohamed Shah, Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, Encik Saiful Zaini Mohd Bokhari dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH. Dato’ Hamdan Hussin.

Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, gangguan bekalan air ini juga berpunca daripada sistem bekalan air yang masih menggunakan paip jenis Asbestos Cement (AC) lama yang telah digunakan sejak tahun 1970-an yang mengakibatkan kejadian paip pecah.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan memandang serius terhadap kontraktor yang gagal menyiapkan projek mengikut jadual dan akan mengambil tindakan tegas.

“Kita pandang serius sebab saya tahu banyak projek sakit di Pahang sebabnya kalau tidak siap mengikut jadual, yang menjadi mangsa selain daripada rakyat ialah kerajaan, rakyat akan marah kepada kerajaan tetapi kerajaan tidak zalim sekiranya kontraktor mempunyai alasan yang boleh diterima kerajaan,” katanya.

Berdasarkan rekod Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), seramai 5,700 penduduk di Bukit Kuin bakal menerima manfaat daripada kerja penambahbaikan sistem bekalan air tersebut.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada penduduk di Bukit Kuin yang sabar dan memahami usaha kerajaan dalam membantu menyelesaikan isu air di kawasan terbabit. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram