SAMBUTAN HARI RAYA DEWAN NEGERI LANCHANG MENCERMINKAN KELUARGA MALAYSIA
Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
TEMERLOH, 21 MEI 2022 : Sambutan Hari Raya Aidilfitri Dewan Negeri (DN) Lanchang dan Parlimen Temerloh hari ini yang diadakan Dewan Dato’ Bahaman mencerminkan Keluarga Malaysia.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata kehadiran masyarakat majmuk yang berbilang kaum turut dilihat menghadiri dan meraikan sambutan ini.
“Sambutan Hari Raya ini sangat baik, kehadirannya ramai, makanannya sedap, dan tadi masa saya nak hadir ke sini (majlis) orang masih ramai datang.

“Yang lebih penting, masyarakat majmuk itu nampak diraikan, ada masyarakat Cina, India, dan begitu juga daripada parti pembangkang pun ada tadi.
“Ini satu petanda yang baik, sesuai dengan Keluarga Malaysia. Jadi saya percaya ini menunjukkan satu petanda yang baik dan Kerajaan Negeri yang ada hari ini relevan dengan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Dewan Negeri (DN) Lanchang dan Parlimen Temerloh hari ini yang diadakan Dewan Dato’ Bahaman di sini.
Beliau yang tiba tepat pukul 1.30 petang diiringi isteri beliau, YABhg. Datin Sri Dato’ Burhah Mohammed dan Ahli Dewan Negeri Lanchang yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd. Sharkar Shamsudin.
Turut hadir, Timbalan Speaker Dewan Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Jenderak, YB. Dato’ Sri Haji Mohamed Haji Jaafar; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Hadir sama, ADN Kuala Semantan, YB. Dato’ Haji Nor Azmi Mat Ludin; ADN Sungai Lembing, YB. Dato’ Md. Sohaimi Haji Mohamed Shah; dan Pegawai Daerah Temerloh, YH. Dato’ Ali Syahbana Sabaruddin.
YAB Menteri Besar Pahang turut menyampaikan sumbangan kelengkapan barangan haji kepada 41 bakal jemaah haji di daerah ini dalam majlis ini dan meluluskan peruntukan RM50,000 bagi menambahbaik kawasan dataran di sekitar Dewan Dato’ Bahaman.
Sebelum majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri, YABhg. Datin Sri Dato’ Burhah turut mencukur jambul 19 bayi yang diraikan dalam Majlis Cukur Jambul dan Berendoi. -PAHANGMEDIA
