Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 21 MEI 2022 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri DUN Kuala Sentul dan UMNO Maran di Felda Jengka 3, di sini.

Keberangkatan tiba baginda pada pukul 8.45 malam disambut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang merangkap Ahli Dewan Negeri Kuala Sentul dan Ketua UMNO Bahagian Maran, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin serta pemimpin setempat.
Baginda turut sudi meluangkan masa menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak dan penduduk setempat selain beramah mesra dengan rakyat jelata yang hadir.

Baginda berangkat meninggalkan majlis pada pukul 11 malam selepas persembahan bunga api selain turut sudi melayani permintaan rakyat jelata untuk bergambar kenangan.
Kira-kira 10,000 orang tetamu yang hadir dihidangkan dengan lebih sepuluh gerai yang menyediakan aneka menu makanan dan minuman seperti apam balik, kambing golek, mee goreng, ketupat, rendang, nasi minyak, cendol dan air balang. -PAHANGMEDIA