Oleh : Fairus Mohd
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim dan Muhammad Shamim Aiman Shafik Fauzan (PRAKTIKAL)
KUANTAN, 6 APRIL 2022 : Tragedi dan ujian yang dihadapi warga Majlis Sukan Pahang mendapat perhatian daripada Kerajaan Negeri yang turut berkongsi beban melalui sumbangan yang dihulurkan.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari berkata, sumbangan ini digalas bersama rasa tanggungjawab dan keprihatinan terhadap mereka yang baru sahaja kehilangan insan tersayang.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri melalui YAB Menteri Besar Pahang atas keprihatinan untuk bertemu dengan ibu bapa arwah Ezremy (atlet badminton) yang meninggal dunia baru-baru ini akibat kemalangan jalan raya.
“Tragedi yang menimpa mereka telah kita bawa ke pengetahuan YAB Menteri Besar untuk kita sampaikan sedikit sumbangan bagi meringankan beban emosi dan juga-juga perkara yang menyusul, dalam masa yang sama memudahkan urusan tuntutan insuran melalui penyelarasan antara MSP bersama kedua-dua ibu bapa arwah bagi melengkapkan dokumentasi berkaitan.
“Sumbangan ini adalah rutin Kerajaan Negeri dan MSP terhadap kebajikan mereka semua, ia sebagai satu sentuhan agar mereka rasa kita ambil peduli terhadap perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) pada majlis penyerahan cek sumbangan Kerajaan Negeri oleh YAB Menteri Besar Pahang kepada penerima-penerima di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Tiga lagi penerima cek sumbangan ialah jurulatih sukan Petanque di MSP, Cik Nur Thahira Tasnim Abdul Aziz, 25, yang kehilangan bapanya akibat serangan jantung pada 30 Mac lalu serta jurulatih sukan Gimnastik, Cik Maria dan Cik Daria dari Ukraine sebagai tanda simpati terhadap nasib keluarga mereka yang terlibat dengan peperangan di negara asal.

Sementara itu, bapa Allahyarham Wan Ezremy Shaqir, Encik Wan Erman Shafri Wan Ibrahim, 42, berkata, kesedihan yang ditanggung dia dan isteri, Siti Nadiya Nazuha Sh Samsudin, 38, selepas pemergian anak sulungnya itu masih kuat terasa namun menerima dengan reda.
“Saya rasa terharu dan amat berterima kasih atas sumbangan yang sedikit sebanyak membantu kami. Imbas kembali saya dimaklumkan anak (tunggang motosikal) terlibat kemalangan di Batu 3 (Kuantan) kira-kira jam empat pagi, dia baru pulang bermain badminton.
“Arwah bermain badminton sejak berusia lapan tahun dan mula serius mewakili Pahang ketika berusia sembilan tahun. Arwah juga anak sulung daripada tiga beradik memang harapan keluarga namun kami reda dengan ketentuanNya,” katanya. – PAHANGMEDIA