Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 07 APRIL 2022 : Menara Kuantan 188 telah diterima sebagai ahli ke-52 World Federation of Great Towers (WFGT) pada 20 Februari lepas.
Pengarah Urusan Menara Kuantan 188, YH. Dato’ Zulkifli Mohamad berkata dengan pengiktirafan ini, menara ini dapat membantu memasarkan industri pelancongan di negeri ini.
“WFGT adalah gabungan 52 buah menara terkemuka di dunia seperti Burj Khalifa, Eiffel Tower, Empire State Building, Taipei 101, dan CN Tower.

“Dengan rantaian global ini akan membantu Kuantan 188 memainkan peranannya sebagai hub pelancongan Negeri Pahang mempromosikan kepada pasaran domestik dan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Silaturahim Dan Berbuka Puasa di Menara Kuantan 188.
Turut hadir, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Tuan Saiful Edris Zainuddin; dan Exco Kerajaan Pahang.
Beliau berkata bagi menarik lebih ramai pengunjung ke menara ini, beberapa aktiviti telah dan akan dijalankan bermula hari ini.
“Selain menawarkan majlis berbuka puasa, selepas Aidilfitri, pelantar restoran ini akan menyediakan restoran sushi, steamboat, dimsum, kedai kopi dan manisan coffe bar dan desserts.
“Untuk golongan remaja dan golongan yang berjiwa muda, Kuantan 188 menawarkan produk kembara skywalk, dropzone, antenna climb pada tahun ini dan terjunan bungee pada tahun 2023.
“Kuantan 188 juga menawarkan tempat untuk acara dari kawasan laman sehingga ke pelantar skydeck di ketinggian 104 meter, dan untuk menambah lagi pengalaman menyeronokkan, Kuantan 188 akan menyediakan kapal layar Damai Puteri dengan kapasiti 38 orang penumpang untuk pelayaran di sungai Kuantan,” katanya.
Tambah beliau lagi, hampir 70,000 pengunjung telah direkodkan mengunjungi Menara Kuantan 188 ini selepas 112 hari beroperasi bermula 15 Disember tahun lepas sehingga semalam. -PAHANGMEDIA