Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 1 APRIL 2022 : Kerajaan Pahang telah menubuhkan Pahang Orang Asli Corporation Sdn Bhd (ORACO) sebagai usaha untuk memutihkan tanah-tanah di kawasan penempatan atau perkampungan Orang Asli yang diceroboh oleh syarikat atau individu.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usaha ini juga termasuklah untuk mengekang sebarang pembangunan oleh agensi kerajaan seperti RISDA dan FELCRA yang tidak mematuhi kepada Enakmen Tanah Negeri.
“Kerajaan yakin dan percaya dengan kaedah begini akan memberi faedah yang terbaik kepada masyarakat Orang Asli di samping menjamin hak tanah tersebut kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Peramu Jaya, YB. Dato’ Sri Haji Sh Mohmed Puzi Sh Ali yang meminta kerajaan melaksanakan proses pemutihan dan kenalpasti RTK Khas meliibatkan Orang Asli pada penggulungan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan.
Katanya, sehingga kini sebanyak 19 daripada Rancangan Tanah Kelompok (RTK) Khas Pekan telah dimajukan oleh pihak RISDA Plantation Sdn Bhd.
Malah, beliau berkata, pihak kerajaan juga telah mengadakan mesyuarat penyelarasan sebagai tindakan pengumpulan maklumat dan pemutihan tanah-tanah yang telah dimajukan. – PAHANGMEDIA