Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 1 APRIL 2022 : Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) merancang untuk menubuhkan projek ladang hutan bertujuan mengurangkan aktiviti pembalakan di hutan asli dalam jangka masa panjang.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usaha ini juga digariskan dalam Dasar Perhutanan Negara 1978 dan Dasar Perhutanan Malaysia 2021.
“Pada masa hadapan, kita berharap kebergantungan kepada hutan asli ini akan sentiasa berkurangan, setelah semua kawasan kelulusan ladang hutan ini siap ditanam sepenuhnya.

“Ia sekaligus akan menggalakkan perkembangan industri perkayuan di negeri ini dengan jaminan sumber bahan mentah yang mencukupi dan konsisten dari ladang hutan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Semambu, YB. Encik Lee Chean Chung yang meminta nilai komersil daripada projek ladang hutan di Pahang dibentangkan pada penggulungan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan.
Beliau turut menegaskan bahawa penubuhan ladang hutan di dalam hutan simpan kekal adalah di kawasan hutan pengeluaran yang terosot (degraded) sahaja dan tidak melibatkan Hutan Perlindungan seperti Hutan Tadahan Air.
“Tambahan daripada itu, kelulusan Laporan EIA diperlukan sebelum sesuatu projek ladang hutan dimulakan dan Laporan Environment Management Plan (EMP) perlu disediakan semasa operasi penubuhan ladang hutan sebagai langkah mitigasi kesan penubuhan kepada alam sekitar.
“Di samping itu juga, zon penampan sungai tetap dikekalkan di dalam kawasan kelulusan penubuhan ladang hutan,” katanya.
Beliau berkata, spesies pokok yang ditanam di ladang hutan adalah jenis cepat tumbuh dan mempunyai kadar yang bersesuaian ditanam untuk penanaman semula hutan yang mempunyai nilai komersil tinggi seperti getah, Timber Latex Clone (TLC), Albizia dan Kelempayan. – PAHANGMEDIA