Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang merangkap Ahli Dewan Negeri YB. Dato’ Haji Nazri Ngah ketika sesi soal jawab Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

SIDANG DEWAN : PAHANG MASIH MAMPU BAGI RUMAH PERCUMA KEPADA RAKYAT

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim 

KUANTAN, 1 APRIL 2022 : Kestabilan politik dan ekonomi negeri Pahang menyumbang kepada kemampuan untuk meneruskan pemberian dan menanggung kenaikan kos rumah percuma iaitu Rumah Rakyat Pahang (RRP).

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang merangkap Ahli Dewan Negeri YB. Dato’ Haji Nazri Ngah, kenaikan kos sebanyak RM10,000 iaitu daripada RM65,000 kepada RM75,000 pada ini masih mampu ditanggung dengan baik.

“Kecekapan pentadbiran di bawah kepimpinan Menteri Besar Pahang serta pegawai-pegawai terlibat telah menyumbang kepada pencapaian ini.

“Mereka yang tidak berkemampuan mempunyai harapan untuk memiliki rumah melalui Projek Rumah Rakyat Pahang yang masih berjalan dalam memberi manfaat kepada rakyat yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Ibam, YB. Datin Shamsiah Arshad pada sesi soal jawab Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Sementara itu, menjawab soalan dari ADN sama berkenaan pelaksanaan Projek Rumah Rakyat di Rancangan Tanah Felda, YB. Dato’ Haji Nazri berkata, syaratnya adalah sama seperti syarat-syarat kelayakan dan perlaksanaan RRP di bukan Rancangan Tanah Felda.

“Pemohon mesti disahkan sebagai miskin tegar atau miskin serta berdaftar dalam bank data kemiskinan nasional (e-kasih) atau diperaku dan disahkan layak oleh Mesyuarat Focus Group Daerah (FGD) atau Focus Group Negeri (FGN).

“Pemohon juga perlu disahkan tidak mempunyai rumah atau rumah sedia ada diperakui usang atau tidak selamat diduduki selain perlu memiliki tanah sendiri atau sebahagian (perlukan kebenaran pemegang bahagian yang lain) atau tanah kerajaan (pentadbir tanah perlu mengambil tindakan lanjut bagi urusan pemberimilikan tanah tersebut,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram