Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Shamim Aiman Shafiq Fauzan (praktikal)
KUANTAN, 01 APRIL 2022 : Kerajaan Pahang melalui peruntukan pembiayaan awalan Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB) memperuntukan RM88 juta bagi melaksanakan lima projek bekalan air di negeri ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata ini bagi memastikan rakyat mendapat akses bekalan air yang sepatutnya.
“Projek Memasang Paip sepanjang 15 kilometer dari Loji Rawatan Air Pekan Tajau sehingga ke Kg Sri Jaya di Maran yang bernilai RM16 juta; projek pembinaan tangki air perkhidmatan dan tangki sedutan Sungai Soi, Kuantan yang berjumlah RM24 juta.
“Projek menaiktaraf sistem bekalan air di Bandar Pekan, Pekan dengan peruntukan sebanyak RM12 juta; projek membina tangki perkhidmatan, tangki sedutan dan memasang paip dari Tangki Benta ke Kampung Tersusun Jerkoh dengan peruntukan RM5 juta.
“Projek- projek kecil seperti naik taraf sistem bekalan air di Kampung Padang Ragut, Kampung Terengging dan Kampung Paya Luas di Temerloh; Kampung Batu Hitam (Kuantan), Kampung Pekan Lama (Pekan), Tanjung Gemuk dan Kampung Bukit Kota (Rompin) dan Kampung Sempadan Lanchang (Temerloh) dengan nilai keseluruhan RM31 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan semasa Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini
Beliau berkata kesemua projek yang disebutkan ini tidak termasuk inisiatif Projek Rintis Off River Storage (ORS) di Kuala Medang, Lipis oleh Kerajaan Pahang.
“Begitulah banyaknya projek yang akan dilaksanakan pada tahun ini untuk memastikan rakyat mendapat akses bekalan air yang sepatutnya. Ini tidak termasuk inisiatif Kerajaan Negeri yang melaksanakan Projek Rintis Off River Storage (ORS) di Kuala Medang, Lipis.
“Projek ini dilaksanakan bagi membolehkan air mentah dari sungai berhampiran disalurkan ke satu kolam takungan sebelum dibekalkan ke loji untuk dirawat. InsyaAllah projek ini akan dilaksanakan di daerah-daerah lain,” katanya. -PAHANGMEDIA