Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 1 APRIL 2022 : Kejadian banjir yang berlaku di Bentong, baru-baru ini tiada kaitan dengan isu pembalakan yang kononnya berlaku di Hutan Simpan Lentang.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, berdasarkan hasil semakan mendapati berlaku kejadian kepala air di Karak yang bermula di Hutan Simpan Lentang akibat hujan lebat berterusan.
“Ini disokong dengan data taburan hujan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di mana Bentong mencatatkan bacaan purata 155mm pada 18 Disember 2021 di mana ianya dikategorikan sebagai sangat lebat,” katanya.
Beliau berucap demikian pada sesi penggulungan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan.
Jelasnya lagi, JPNP telah melakukan tinjauan melalui udara dan mengesahkan tiada sebarang aktiviti pembalakan dijalankan di Hutan Simpan Lentang, Tanah Kerajaan dan Tanah Milik di kedua-dua lokasi.
Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, Hutan Simpan Lentang di Sungai Kerau seluas 30 hektar terbabit juga telah dijadikan petak High Conservation Value Forest (HCVF) sejak 2012 yang merupakan kawasan Hutan Perlindungan yang tidak boleh dijalankan sebarang aktiviti pembalakan.
Pihak kerajaan juga telah menjalankan satu kajian forensik berkenaan kejadian banjir puing yang berlaku di Daerah Bentong di mana didapati ratusan runtuhan tanah dan pokok-pokok di sepanjang laluan terbabit.
“Kesemua bukti dan fakta telah direkodkan di dalam buku laporan forensik dan saya berharap agar buku ini dapat diteliti oleh setiap Ahli Yang Berhormat dan berpeganglah kepada fakta dan bukti yang diberikan di dalam buku tersebut. Saya ucapkan terima kasih kepada JPNP di atas inisiatif yang dilakukan ini,” katanya. – PAHANGMEDIA