Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff

SIDANG DEWAN : KADAR LIPUTAN JALUR LEBAR DI PAHANG MENINGKAT KEPADA 92.56 PERATUS

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
 
KUANTAN, 31 MAC 2022 : Kadar liputan jalur lebar mudah alih (4G) di bawah perlaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 di seluruh Pahang meningkat kepada 92.56 peratus berbanding 89.10 peratus pada suku kedua tahun 2020 dan ianya akan terus dipertingkat untuk mencapai sasaran 96.9 peratus menjelang penghujung 2022.
 
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, bagi tujuan itu, penutupan rangkaian 3G telah dilaksanakan pada 31 Disember 2021 untuk penggunaan spektrum yang lebih efisen dan ini memberi sedikit kesan sementara kepada perkhidmatan komunikasi.
 
“Untuk itu, pengguna boleh memeriksa kad sim sedia ada sama ada telah ‘4G ready’ atau membuat tetapan rangkaian telefon bimbit ke rangkaian 4G dan pengguna boleh juga perlu memastikan bahawa telefon bimbit adalah model yang berkeupayaan 4G bagi memastikan perkhidmatan komunikasi tidak terganggu,” katanya.
 
Beliau berucap demikian ketika berucap pada Penggulungan Perbahasan Titah Diraja Sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan.
 
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kadar penggunaan aplikasi PahangGo menunjukkan peningkatan dengan seramai 240,000 pengguna manakala purata jumlah traksaksi bulanan pula berjumlah 150,000 dengan nilai mencecah RM1.3 juta sebulan.
 
“Pada tahun 2022, perkhidmatan baru yang akan ditambah dalam versi baru apikasi (akan dilancarkan pada April 2022) adalah pembayaran bil TNB, Indah Water, pinjaman PTPTN, bayaran sewaan premis PKNP dan rumah PAKR serta pembelian tambah nilai permainan atas talian (mobile games) yang dipercayai mampu menarik minat pengguna generasi muda,” katanya.
 
YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin berkata, kerajaan juga akan melancarkan Pelan Digital Negeri Pahang pada 13 April 2022 bertujuan sebagai panduan bagi pendigitalan Negeri Pahang dalam empat teras utama dengan menggariskan 10 strategi digital, 48 inisiatif digital, enam fokus industri dan 85 solusi digital yang direncanakan sehingga tahun 2025.
 
Beliau berkata, antara inisiatif di bawah Pelan Digital Negeri Pahang ialah pemodenan pengurusan mineral oleh Pahang Mining Corporation (PMC), memperluas penggunaan sistem penguatkuasaan dan parking digital oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), membangunkan sistem pemantauan dan pengurusan prestasi Kerajaan Negeri Pahang oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang.
 
“Pelan ini juga akan menyediakan komuniti wifi setempat, memperkasakan surau dan masjid sebagai institusi digital ummah menerusi aplikasi MYKariah, pembangunan sistem e-pelaburan oleh Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) dan mewajibkan telekomunikasi sebagai utiliti asas ketiga untuk semua projek pembangunan hartanah di Pahang,” katanya.
 
Dalam pada itu, beliau berkata, TNB menerusi Allo Technology telah merangka Pelan Penyediaan Liputan Perkhidmatan Jalur Lebar berkualiti tinggi Allo di Pahang bagi menyokong inisiatif kerajaan iaitu JENDELA dalam meluaskan penggunaan internet ke seluruh negara terutama di kawasan luar bandar.
 
Kriteria pemilihan kawasan bagi pelan ini ialah tiada pertindihan dengan pembekal jalur lebar sedia ada daripada Telco, jangkaan permintaan melebihi 40 peratus dan kerjasama daripada kerajaan negeri serta PBT. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download