Oleh : Fairus Mohd
Foto : Mohamad Arfan Mohamad Nor Asmadi (Praktikal)
KUANTAN, 31 MAC 2022 : Institusi Pendidikan di negeri Pahang antaranya UnIPSAS, University College Of Yayasan Pahang (UCYP) dan Pahang Skills menepati hasrat penubuhannya untuk menjadi pusat kecemerlangan ilmu dan melahirkan modal insan yang berketerampilan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, UnIPSAS merupakan satu-satunya IPT di Malaysia yang diiktiraf oleh Universiti Al-Azhar sejak tahun 2015.
“Manakala, institusi milikan Yayasan Pahang iaitu University College Of Yayasan Pahang (UCYP) merupakan antara 12 peratus IPTS yang telah diiktiraf Kerajaan China yang membolehkan pelajar China yang belajar di sana bekerja di sektor awam mereka.
“Pahang Skills juga telah menawarkan kursus-kursus program peningkatan kemahiran kepada para graduan, pekerja industri dan juga pekerja di sektor kerajaan yang melibatkan pelbagai agensi bagi program DRONE TECHNOLOGY dan Internet of Things (IOT). Antara program DRONE yang dijalankan adalah Drone Technology untuk lepasan graduan yang memfokuskan kepada kemahiran memasang dan menerbangkan DIY Drone,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, YB. Encik Andansura Rabu pada Penggulungan Perbahasan Titah Diraja Sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan dari ADN sama, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri Pahang telah banyak memberi bantuan awal kepada pelajar negeri Pahang melalui agensi Yayasan Pahang dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).
“Pihak Yayasan Pahang telah menyediakan kemudahan pembiayaan pelajaran dalam bentuk pinjaman pendidikan berbentuk pinjaman pendidikan tanpa dikenakan caj perkhidmatan atau faedah.
“Ini bagi menggalakkan rakyat Pahang, terutama dari keluarga yang kurang berkemampuan untuk menyambung pengajian di institusi-institusi ini,” katanya.
Dalam pada itu beliau menegaskan bahawa Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) amat prihatin dalam menangani masalah banjir yang mengakibatkan kerosakan dan kemusnahan ketara terhadap aset dan fizikal bangunan.
“Sehubungan dengan itu, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) memperuntukkan sejumlah RM20.49 juta bagi pembaikpulihan 129 projek di sekolah-sekolah yang terjejas akibat banjir.
“Dalam waktu yang sama KPM telah menyediakan sebanyak RM36.87 juta (peruntukan semasa) bagi melaksanakan pembangunan pendidikan dalam negeri Pahang untuk tahun 2022,” katanya.
Menurutnya, dengan sokongan Jabatan Kerja Raya (JKR), masalah banjir yang berlaku di sekolah telah mendapat santunan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melalui peruntukan pembangunan fasiliti sebanyak RM 12.55 juta, mekanikal RM 640,000 dan air sebanyak RM1.495 juta. – PAHANGMEDIA