Oleh : Fairus Mohd
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim dan Mohamad Arfan Mohamad Nor Asmadi (praktikal)
KUANTAN, 31 MAC 2022 : Usaha memperkasa masyarakat Orang Asli di negeri ini diteruskan dengan penubuhan Jawatankuasa Pembangunan Kraf dan Warisan Orang Asli Negeri Pahang.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram berkata, penubuhan jawatankuasa ini menumpukan kepada aktiviti pembangunan sosioekonomi yang dapat memberi faedah dalam meningkatkan taraf hidup ke arah lebih baik.
“Ia juga merupakan satu usaha untuk melahirkan lebih ramai usahawan kraf dalam kalangan masyarakat belia dan beliawanis Orang Asli di mana jawatankuasa ini dapat digunakan sebagai platform untuk merancang hala tuju usahawan Orang Asli dengan memberi tumpuan kepada strategi meningkatkan pengeluaran hasil kraf dalam pelbagai bentuk produk,” katanya.
Beliau berucap demikian ketika berucap pada Penggulungan Perbahasan Titah Diraja Sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan.
Sementara itu pada sesi sama beliau turut memaklumkan sebanyak RM390.69 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan projek-projek Pembangunan Luar Bandar sepanjang tahun ini.
Menurutnya, Kerajaan Negeri dengan kerjasama erat Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah dan masih dalam pelaksanaan sebanyak seratus buah projek pembangunan kawasan luar bandar di seluruh negeri Pahang.
“Semua ini merangkumi pelbagai jenis projek seperti Bekalan Air Luar Bandar (BALB), Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB), Jalan Luar Bandar (JLB), Jambatan Luar Bandar, Jalan Perhubungan Desa (JPD), Program Ameniti Sosial (PAMS), Projek Pemajuan Kawasan, Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) serta peruntukan kepada agensi-agensi di bawah KPLB.
“Prasarana Luar Bandar yang berkualiti dan mencukupi amat penting bagi menyokong pembangunan ekonomi dan sosial masyarakat luar bandar serta dapat mewujudkan persekitaran kehidupan yang kondusif sekaligus membuktikan bahawa Kerajaan Negeri tidak meminggirkan golongan luar bandar,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Ibam, YB. Datin Samsiah Arshad berkenaan pendidikan anak-anak orang asli di pedalaman, YB. Dato’ Abd Aziz berkata Kerajaan Negeri bersama-sama Yayasan Pahang dan JAKOA menjadikan pendidikan sebagai agenda utama dalam memajukan modal insan dalam kalangan Orang Asli.
“Yayasan Pahang telah memperkenalkan program Baca Cepat Kawanku (BCK) untuk membasmi murid tidak boleh membaca seawal tahun satu lagi. Pada tahun 2021 sebagai program rintis, dua buah sekolah Orang Asli telah mengikuti program ini dan hasilnya ke semua murid yang mengikuti program ini sudah boleh membaca.
“Manakala pembangunan komuniti Orang Asli iaitu melalui Program Pembangunan Tamadun Masyarakat Orang Asli (PETAMA) pula telah melatih lebih 700 orang bagi meningkatkan kemahiran mereka.
“Program ini juga melahirkan pembantu penggerak yang dikenali sebagai Penyelaras Pembangunan Insaniah Masyarakat Asli (PePIMA) yang merupakan ‘ejen merubah’ dalam komuniti mereka sendiri termasuklah kepada ibu bapa kepada kanak-kanak orang asli,” katanya. -PAHANGMEDIA