Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim & Muhammad Shamim Aiman Shafiq Fauzan (praktikal)
KUANTAN, 31 MAC 2022 : Bantuan bernilai RM3.121 juta akan disalurkan kepada para petani dan penternak yang mengalami kerugian akibat bencana banjir di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Mohd. Soffi Tan Sri Abdul Razak berkata, bantuan melibatkan dua peringkat kepada 506 mangsa ini akan mula disalurkan pada April.
“Peringkat pertama telah pun diterima melalui Jabatan Pertanian melibatkan peruntukan RM429,155 yang melibatkan 72 petani.
“Bantuan insentif yang disalurkan dalam bentuk input iaitu peralatan dan mesin dan lain-lain yang berkaitan. Peruntukan tersebut dalam proses perolehan dan dijangka akan diagihkan pada bulan April hingga Julai.
“Bantuan peringkat kedua telah pun diluluskan dengan anggaran sebanyak RM2.692 juta melibatkan 434 petani. Peruntukan dijangka akan disalurkan pada bulan April ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Ibam, YB. Datin Shamsiah Arshad berkenaan jumlah petani terjejas dan kerugian, serta bentuk bantuan yang diberikan oleh Kerajaan Pahang semasa Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Beliau berkata sebanyak 2,173 petani, dan penternak di terjejas akibat banjir di negeri ini dengan kerugian dianggarkan kira-kira RM31.53 juta.
“Mereka yang terlibat terdiri daripada 1,249 pesawah, 490 pekebun sayur dan buah-buahan, 140 penternak haiwan, dan 294 penternak ikan dengan kerosakan melibatkan RM31.531 juta.
“Terdapat dua bentuk bantuan yang telah disediakan oleh Kerajaan membabitkan kemudahan kewangan dan input pertanian serta peralatan,” katanya.
Menurut beliau lagi, bagi pesawah padi berdaftar, mereka akan menerima bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi sehingga RM5,400.
“Ini dengan kadar RM1,800 bagi setiap hektar dan maksima bantuan seluas tiga hektar yang akan dikreditkan ke dalam akaun pesawah.
“Bagi pengusaha industri asas tani yang barangan atau peralatan mereka musnah ditenggelami banjir, mereka layak menerima sehingga RM50,000.
“Manakala bagi pengusaha tanaman makanan, mereka pula boleh menerima sehingga maksimum RM60,000 melalui Bantuan Tabung Pembangunan Semula Projek Agromakanan dalam bentuk input pertanian,” katanya. -PAHANGMEDIA