YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika Majlis Pelancaran Produk Pelancongan Astro-tourism – Pahang Amazing Sky di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Sri Pahang, hari ini.

ASTRO-TOURISM – PAHANG AMAZING SKY BAKAL PUKAU PELANCONG

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Mohamad Arfan Mohamad Nor Asmadi (praktikal)

KUANTAN, 31 MAC 2022 : Produk pelancongan terbaharu Pahang iaitu Astro-tourism dijangka bakal menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini di mana mereka berpeluang untuk melihat keindahan langit pada waktu malam.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bertemakan Pahang Amazing Sky, pelancong berpeluang melihat keindahan langit penuh dengan bintang di kawasan langit gelap yang bebas daripada pencemaran cahaya.

“Ini bermaksud pelancong boleh melihat suasana langit seperti zaman nenek moyang ketika mana langit belum dicemari oleh cahaya lampu buatan yang melenyapkan cahaya bintang.

“Keistimewaan yang ada di negeri ini jelas boleh dimanfaat melalui produk terbaharu pelancongan ini yang akan menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Produk Pelancongan Astro-tourism – Pahang Amazing Sky di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Sri Pahang, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin dan Pengurus Besar Tourism Pahang, Encik Kamaruddin Ibrahim.

Hadir sama, Pengarah Perhutanan Negeri Pahang, Dato’ Dr .Mohd Hizamri Mohd Yasin, Founder & CEO Apadilangit, Encik Muhammad Hafez Ahmad Murtza serta Rektor UiTM Cawangan Pahang, Prof Madya Ts Dr Nur Nafhatun Md Shariff.

Dalam pada itu, dengan tema pelancongan Negeri Pahang “This is Pahang Unlimited”, konsep baru pelancongan ini akan memberikan impak besar kepada pelancongan negeri.

Melalui konsep pelancongan baru ini, pelancong juga boleh belajar mengenai buruj serta tanda arah melalui peta bintang, tidak ketinggalan arah kiblat yang menjadi rujukan penganut beragama Islam untuk menunaikan solat.

Pelancong juga akan dibawa menghargai keindahan langit dan mengetahui tentang kesan pencemaran cahaya kepada manusia serta flora dan fauna.

Selain kaya dengan keindahan flora dan fauna, Negeri Pahang mempunyai banyak kawasan langit gelap. Taman Negara Pahang dan Taman Negeri Rompin yang merupakan kawasan perlindungan flora dan fauna berpotensi digazetkan sebagai rizab langit gelap pertama negara kerana ia bebas dari limpahan lampu pembangunan. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download