Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah ketika berucap pada Penggulungan Perbahasan Titah Diraja Sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan

SIDANG DEWAN : KERAJAAN NEGERI PERKENAL I-PUSH BANTU USAHAWAN PAHANG

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
 
KUANTAN, 31 MAC 2022 : Kerajaan Pahang telah memperkenalkan satu inisiatif baharu untuk usahawan Pahang iaitu Skim Pembiayaan Kewangan Usahawan Mikro Negeri Pahang (I-PUSH) dengan peruntukan RM20 juta bertujuan membantu golongan terbabit yang terjejas ekoran pandemik COVID-19.
 
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah berkata, skim I-PUSH ini dapat memberi manfaat kepada 2,500 penerima di kalangan usahawan mikro yang terjejas.
 
“Maka dengan ini jelaslah Kerajaan Pahang sentiasa peka dengan keperluan semasa dan akan terus komited membantu usahawan terjejas untuk menjamin kesejahteraan rakyat Negeri Pahang.
 
“Usahawan mikro yang terjejas boleh mengemukakan permohonan bagi skim ini di portal rasmi https://smu.pahang.gov.my bermula 1 April hingga 30 April 2022,” katanya ketika berucap pada Penggulungan Perbahasan Titah Diraja Sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan
 
Menjawab soalan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Jengka, YB. Encik Shahril Azman Abd Halim berhubung memudahcara menangani isu bekalan elektrik dan air di kediaman siap dibina di FELDA, YB. Dato’ Haji Nazri berkata, menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pahang, Kerajaan telah bersetuju untuk membenarkan pembinaan dua rumah di dalam satu lot (2R1T) di kawasan FELDA dengan mematuhi semua syarat yang ditetapkan.
 
Dalam perkembangan sama, kerajaan negeri telah menerima 10 tapak yang terbengkalai bagi Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF) dan tindakan selanjutnya telah diambil oleh Kerajaan Pahang menerusi Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang.
 
“Kerajaan juga berhasrat untuk melaksanakan pemberian hak milik kepada entiti-entiti yang terdapat di kawasan FELDA seperti koperasi, pengusaha kedai dan pasaraya melalui proses pemutihan kepada entiti terbabit,” katanya.
 
Menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Teruntum, YB. Encik Sim Chon Siang berhubung penyelesaian kerajaan terhadap peniaga gulung tikar, beliau berkata, sebanyak 1,748 peniaga direkodkan gulung tikar dari Mac 2020 sehingga Disember 2021 di mana pada tahun 2020 sebanyak 1,218 peniaga gulung tikar direkodkan manakala tahun 2021 sebanyak 530 sahaja peniaga gulung tikar dicatatkan.
 
“Satu pendekatan telah diambil oleh Kerajaan Pahang bagi menangani masalah ini melalui inisiatif I-PUSH yang diumumkan dalam belanjawan 2022 dengan peruntukan RM20 juta,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download