Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, YB. Dato' Sri Mohd Sharkar Shamsudin menyampaikan sumbangan kepada Puan Ramlah Sulaiman.

KERAJAAN PAHANG BANTU WARIS MANGSA LEMAS

Oleh: Fairus Mohd

KUANTAN, 3 JANUARI 2022 : Kehilangan dua insan tersayang dalam sekelip mata sudah pasti memberi kesan besar dan kesedihan yang mendalam bagi Puan Ramlah Sulaiman dan ahli keluarganya.

Kejadian lemas membabitkan suaminya, Musa Ahmad, 53, dan anak Mohammad Aireel Zikree, 10, pada 21 Disember lalu juga menyebabkan dia kehilangan tempat bergantung hidup dan kasih sayang.

Kepiluan yang dirasai turut dikongsi Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin yang hadir menziarahi di kediamannya di Temerloh, semalam.

“Saya mengucapkan takziah kepada Puan Ramlah di atas kehilangan suami serta anak ketika banjir melanda di kawasan Mentakab baru-baru ini.

“Jadi hari ini (semalam) saya bersama (wakil) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan juga Pejabat Daerah dan Tanah (Temerloh) datang untuk menyampaikan sumbangan kepada Puan Ramlah iaitu sebanyak RM30,000 daripada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Lanchang berkata, kehilangan yang dilalui tidak dapat dibanding dengan nilai wang ringgit yang disumbangkan namun ia diharap dapat meringankan beban yang ada.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin menziarahi Puan Ramlah Sulaiman yang kehilangan suami dan anaknya akibat lemas baru-baru ini.

“Walaupun kita tahu ia (sumbangan) tidak dapat menggantikan nyawa dan tempat bergantung tapi kita harap sedikit sebanyak meringankan bebanan untuk Puan Ramlah memulakan kehidupan baru walaupun tidak terkesan dengan banjir tapi kehilangan punca pendapatan utama (arwah suami) merupakan satu perkara yang perlu dihadapi oleh mereka.

“Kerajaan Negeri Pahang juga menyampaikan ucapan takziah dan bersedia mempertimbangkan sebarang bantuan berbentuk keperluan untuk mereka mengharungi situasi ini,” katanya.

Dalam kejadian itu, mayat dua beranak yang lemas di kawasan padang bola belakang Bangunan UMNO, Mentakab ditemui pada jarak 100 meter dari lokasi kejadian oleh Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Angin.

Kedua-duanya dikatakan hanyut dibawa arus deras ketika meredah banjir di kawasan tersebut dan ditemui dua hari selepas hari kejadian iaitu pada 23 Disember lalu. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download

Share this: