Oleh: Mahathir Ali
PEKAN, 3 JANUARI 2022 : Penduduk Kampung Serambi di sini bersyukur kerana Kerajaan Pahang telah membuat banyak perubahan terutamanya dari segi bantuan kepada penduduk yang terjejas dengan banjir.
Menurut Ketua Kampung Serambi, Haji Abdul Latif Jusoh, di bawah pengendalian Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff banyak perubahan bantuan yang telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan.
“Berbeza ketika dahulu, sekarang memang lain, makan mewah kadang-kadang makanan kita macam hotel. Sampai dua tiga menu, diberi oleh jabatan kerajaan dan ditambah dengan orang kampung,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.
Beliau turut berterima kasih kepada pihak yang terlibat memberi sumbangan kepada penduduk kampung.
“Terima kasih kepada semua yang memberikan bantuan kepada mangsa banjir dan seolah-olah rasa banjir di kampung ini macam satu pesta, jadi Alhamdulillah.
“Kami sangat bersyukur kepada Allah SWT kerana banjir pada tahun ini banyak perubahan bantuan yang telah dihulurkan oleh pihak kerajaan.
“Terutamanya di bawah pengendalian yang berhormat Exco yang juga Ahli Dewan Negeri Bebar. Beliau pun sudah datang beberapa kali di pusat pemindahan banjir di Serambi ini,” katanya. – PAHANGMEDIA