Oleh : Ain Nadhirah Basha
BERA, 02 OKTOBER 2021 : Kerajaan menjangkakan ekonomi negara akan kembali pulih pada tahun hadapan setelah terkesan dengan COVID-19.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata ia berdasarkan unjuran yang diumumkan oleh Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebelum ini.
“Dan kalau kita lihat, di Malaysia, KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) kita pada tahun ini diunjurkan di antara tiga (peratus) atau empat peratus, sementara unjuran yang telah diumumkan oleh IMF dan World Bank pada tahun 2022 adalah lima (peratus) hingga 6 peratus.

“Ini menunjukkan ekonomi kita akan pulih ataupun bertambah baik pada tahun hadapan. Ini unjuran yang diberikan oleh independent atau world bank,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat Tasek Bera Resort dan Perkampungan Orang Asli Jeti Sudin di Kampung Limbahan di sini, hari ini.
Turut hadir, YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Timbalan Menteri Kewangan I, YB. Mohd Shahar Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman; dan Pegawai Daerah Bera, YH. Dato’ Zaman Azam Mohamat Sarif@Ahmat.
Beliau berkata namun demikian sesetengah sektor ekonomi akan mengambil masa yang lebih lama untuk kembali pulih.
“Ekonomi yang terkesan akibat COVID-19 ini tak seimbang. Setengah sektor lebih terkesan daripada yang lain. Pelancongan mungkin ambil masa lebih setahun untuk pulih semula seperti sediakala.
“Tapi sesetengah sektor tidaklah terkesan sangat seperti contoh macam pembuatan elektronik dan elektrikal kerana eksport kita yang kuat atau demand kita yang kuat, external demand yang kuat jadi mereka tidaklah berapa terkesan.
“Jadi seperti mana yang dapat kita lihat walaupun ada sektor yang akan lebih terkesan daripada yang lain akan mengambil masa yang lama untuk dipulihkan, jadi kita sebagai Kerajaan perlu menolong sebelum mereka dapat kembali pulih seperti sediakala,” katanya.
Menurut beliau, semua sektor yang terkesan akibat COVID-19 ini akan diberi perhatian oleh Kerajaan bagi memastikan ianya dapat kembali pulih.
“Dalam belanjawan nanti, kita akan memberikan tumpuan dan bantuan kepada semua sektor termasuk sektor yang paling terkesan iaitu pelancongan, peruncitan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS ) yang teruk terjejas,” katanya.
Tambah beliau lagi, Kerajaan akan mengumumkan unjuran kewangan negara semasa belanjawan negara 2022 pada 29 Oktober ini.
“Kerajaan akan mengumumkan kita punya unjuran pada 29 Oktober semasa belanjawan 2022 dibentangkan.
“Dan insyaAllah di sini kita akan lihat bagaimana ekonomi kita difokus kepada sektor-sektor terkesan akan dapat lihat pemulihan yang lebih baik daripada tahun 2020 yang paling teruk bagi kita,” katanya. -PAHANGMEDIA