Oleh : Fairus Mohd
PEKAN, 3 OKTOBER 2021 : Usaha Kerajaan Pahang memberi keselesaan kepada rakyat memerlukan nyata telah mengubah taraf kehidupan golongan ini ke arah yang lebih baik.
Bagi penerima Rumah Rakyat Pahang (RRP) di Jalan Alor Ara di sini, Encik Kamar Ariffin Abdul Rahim, tempat berteduh yang diberikan kepada dia sekeluarga amat disyukuri.
“Rumah ini beri peluang kepada saya menjalani kehidupan bersama-sama bersama isteri, Norhaijah Abdullah, 41, serta enam orang anak berusia antara 4 hingga 17 tahun.

“Sebelum ini kami menumpang tinggal di rumah mentua kerana tiada rumah sendiri. Alhamdulillah, terima kasih banyak-banyak kepada Kerajaan Negeri terutamanya Menteri Besar Pahang yang begitu prihatin dengan nasib rakyat yang memerlukan seperti kami,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di sini.
Encik Kamar Ariffin yang bekerja sebagai pemotong rumput berkata, pendapatan yang diperoleh hanyalah untuk menanggung keperluan makan minum keluarga.
“Saya dapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan ia dapat menambah keperluan keluarga termasuk menanggung persekolahan anak-anak.
“Usaha Kerajaan Negeri yang menambah lagi bilangan Rumah Rakyat Pahang (RRP) sebenarnya adalah satu usaha yang sangat baik dan mulia. Memang ada ramai lagi mengharap bantuan seumpama ini,” katanya.
Menurutnya lagi, wabak COVID-19 juga telah menambah kesukaran hidup mereka namun bantuan yang sentiasa disalurkan pemimpin setempat serta kerajaan negeri banyak meringankan beban yang ditanggung.
“Terima kasih kerana prihatin terhadap rakyat dan tidak membiarkan kami memperjuangkan kehidupan secara bersendirian.
“Pelbagai bantuan yang disalurkan telah banyak meringankan beban yang ditanggung apatah lagi wabak ini masih belum hilang sepenuhnya,” katanya. – PAHANGMEDIA