Oleh : Fansurina Abdullah
Foto: Azmaidi Abidin
KUANTAN, 2 OKTOBER 2021 : Sebanyak 51 rumah dan lapan kedai di Kampung Baru Cina, Karak, Bentong musnah dalam kebakaran pada malam semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Wan Mohd Zaidi Wan Isa berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada jam 9.20 malam namun kebakaran hanya berjaya dipadamkan kira-kira jam 12.20 malam.
Beliau berkata, seramai 52 pegawai dan anggota serta tujuh jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Karak yang turut dibantu BBP Mentakab, BBP Bentong dan BBP Temerloh.
Difahamkan tekanan air yang rendah di kawasan kejadian menyukarkan operasi memadamkan kebakaran terbabit.
Sementara itu, Kerajaan Pahang meminta semua pihak terlibat supaya dapat mengenalpasti lokasi-lokasi yang menghadapi tekanan air rendah bagi mengelakkan kesukaran sekiranya berlaku kecemasan seperti kebakaran.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda berkata, terdapat pelbagai punca yang boleh mengakibatkan tekanan air rendah terutama di kawasan perumahan lama.
“Saya sebagai Pengerusi Kerajaan Tempatan dan Perumahan ini yang bertanggungjawab kepada perkara ini meminta pihak Pejabat Tanah, Majlis Perbandaran atau Majlis Daerah dan pihak bomba sendiri supaya dapat mengenalpasti beberapa kawasan yang selalu berlaku tekanan air rendah.
“Ini mungkin berlaku kerana beberapa punca lain dan saya minta pihak PAIP sendiri untuk memastikan semua kawasan-kawasan yang lama ini perlu dibuat pemeriksaan secara berkala dan lebih kerap,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat lokasi kebakaran berkenaan dan penduduk yang terlibat kebakaran di sekolah berdekatan pekan Karak.
YB. Dato’ Rahim berkata, pihak kerajaan negeri akan menilai kerugian dan mempertimbangkan bantuan yang akan disalurkan kepada semua mangsa terlibat.
Beliau turut meminta agar penduduk dan pemilik bangunan supaya dapat memeriksa pendawaian di kediaman dan bangunan masing-masing bagi mengelak litar pintas yang boleh mengakibatkan kebakaran. – PAHANGMEDIA