Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
ROMPIN, 18 SEPTEMBER 2021 : Kerajaan Negeri menetapkan empat strategi tambahan bagi memastikan sasaran seratus peratus vaksinasi di negeri ini berjaya dicapai.
YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak berkata, strategi pertama ialah vaksin secara walk-in atau mobile (menggunakan bas yang disediakan) di tempat-tempat yang dirasakan sesuai.

“Strategi kedua adalah seperti yang diumumkan oleh YAB Menteri Besar Pahang semalam di mana pada Isnin depan kita akan mula vaksin pelajar sekolah.
“Persiapan akhir sedang dibuat oleh team kita melibatkan Jabatan Pendidikan, Jabatan Kesihatan serta kepimpinan tempatan. Pendekatan kita ialah akan tentukan sekolah mana yang akan dijadikan PPV.
“Jadi pelajar-pelajar akan dihubungi akan ke mana (tempat vaksin), jangan bimbang mereka akan ditentukan (vaksin) di sekolah mana. Kita bahagi dua jenis pelajar, satu yang tinggal (dan bersekolah) di sesuatu kawasan dan satu lagi yang berasrama penuh. Kita sedang atur ke mana mereka akan divaksin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat Pusat Program Vaksinasi MOVAC Outreach di Sungai Puteri, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain; YB Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar serta Pegawai Daerah Rompin, Tuan Ahmad Nasim Dato’ Haji Ahmad Sidek.
Sementara itu, Dato’ Sri Dr Salehuddin berkata, pihaknya juga sedang menyusun bagi membolehkan pelajar-pelajar yang bersekolah di Pahang tapi bukan tinggal di Pahang menerima vaksin.
“Semua ini diaturkan secara terkeordinasi di antara semua jabatan. Kita ada beberapa jenis kategori sekolah iaitu sekolah di bawah Kementerian Pelajaran, sekolah di bawah Kerajaan Negeri, di bawah MARA, swasta serra Maahad Tahfiz, semua ni kita atur supaya tersusun.
“Saya minta semua ibu bapa dan pelajar agar tolong dapatkan maklumat dari pejabat pelajaran terdekat, jangan confuse (keliru) kerana semua dah diatur ke mana (tempat vaksin) dan jangan risau kerana setiap lokaliti mereka ada PPV,” katanya.
Dalam pada itu katanya, strategi ketiga turut bermula Isnin ini iaitu sasaran seratus peratus vaksinasi ke atas Orang Asli menjelang penghujung tahun ini.
“Ini merupakan satu task yang besar kerana Orang Asli merupakan komuniti yang paling terdedah kepada COVID-19 dan kadar jangkitan golongan ini adalah lebih tinggi berbanding bukan orang asli.

“Perlu saya ingatkan semua pimpinan orang asli, saya dah mesyuarat semua pihak terlibat mengenai operasi yang akan dilaksanakan secara teratur dan selaras semua agensi,” katanya.
Katanya lagi, Kerajaan Negeri ingin rakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Pertahanan dan Panglima Angkatan Tentera kerana sediakan sokongan dan pasukan untuk vaksin Orang Asli.
Beliau berkata, strategi ke empat akan dilancar beberapa hari lagi iaitu vaksinasi sepenuhnya peneroka Felda.
“Kita dah buat penilaian secara lebih kurang analisa jangkitan tertinggi adalah (di kalangan) Orang Asli tapi kadar kematian tertinggi berlaku di kalangan penduduk Felda.
“Hari Isnin ini saya akan bincang dengan semua pihak terlibat supaya dapat satu team yang mantap untuk selesaikan sekaligus dapat segerakan imunisasi yang kita sasar iaitu 100 peratus melalui usaha berterusan,” katanya. – PAHANGMEDIA