Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 18 SEPTEMBER 2021 : Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) kini giat mempertingkatkan usaha penjagaan kebersihan di sekitar bandar Kuantan bagi menarik kunjungan pelancong ke lokasi-lokasi menarik di bandaraya tersebut.
Datuk Bandaraya MBK, YH. Dato’ Hamdan Hussin berkata, kerjasama pelbagai pihak sama ada pihak MBK bersama agensi kerajaan terlibat termasuklah penduduk setempat adalah amat penting bagi mewujudkan kesedaran bagi melahirkan masyarakat yang cintakan kebersihan.

“Saya menyeru kepada semua warga Majlis Bandaraya dan warga Kuantan marilah bersama-sama meningkatkan kebersihan di sekeliling perumahan kita, di sekeliling taman-taman kita dan keseluruhannya bandar kita.
“Dan kita harap usaha ini seterusnya akan mengekalkan kesihatan kita, keindahan dan juga untuk menjadikan bandaraya kita terus maju dan menjadi tumpuan kepada para pelancong di masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas Program Hari Kebersihan Negara 2021 (World Clean Up Day) Majlis Bandaraya Kuantan di Esplanade Tanjung Api, Kuantan, pagi tadi.
Turut hadir ialah Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang, Encik Sharudin Hamid, Alam Flora, Ahli Majlis MBK, badan bukan kerajaan (NGO) Persatuan India Prihatin Pahang dan Ketua Kampung Tanjung Api.
Pada program sama, YH Dato’ Hamdan turut melancarkan maskot Hari Kebersihan Negara yang telah dihasilkan menggunakan bahan-bahan kitar semula. – PAHANGMEDIA