Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim
ROMPIN, 18 SEPTEMBER 2021 : Pahang sudah bersedia menerima pelancong di lima buah lokasi pelancongan popular di negeri ini.
YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak berkata, lima lokasi tersebut ialah Bukit Fraser, Pulau Tioman, Taman Negara, Cameron Highlands dan Genting Highlands.

“Kita sudah bersedia. Fraser Hills seratus peratus (sudah) vaksin, Cameron Highlands sudah close to (hampir) 80 peratus.. yang paling tinggi di Pahang dah melebihi target nasional dah.
“Tioman seratus peratus, Taman Negara sudah seratus peratus, jadi anytime (bila-bila masa) kalau katakan pagi ini keluar SOP, petang ni kita dah boleh jalan (mula) dah. Memang tak ada isu, kita hanya menanti green light daripada Menteri MOTAC (Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat Pusat Program Vaksinasi MOVAC Outreach di Sungai Puteri, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Sumber anusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain; YB Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar serta Pegawai Daerah Rompin, Tuan Ahmad Nasim Dato’ Haji Ahmad Sidek.
Dalam pada itu beliau berkata, Pahang sudah lama bersedia untuk membuka gelembung pelancongan.
“Pahang seperti yang disebutkan oleh YB Dato’ Sri Sharkar Exco Pelancongan, kita ever ready.. before Langkawi ready, kita dah ready lama dah.
“Ini bukan perkara baru dan Pahang telah merekodkan vaksinasi seratus peratus pertama di Malaysia iaitu di Tioman, satu lokaliti yang paling pertama di Malaysia sebenarnya, dan Genting Highlands pun hampir seratus peratus. Jadi lima lokasi pelancongan kita sudah sedia dibuka, pada bila-bila masa,” katanya. – PAHANGMEDIA