Oleh : Fansurina Abdullah
MARAN, 4 SEPTEMBER 2021 : Sebanyak 9,000 benih ikan lampam dilepaskan di Taman Eko Rimba Lubuk Yu, di sini sebagai salah satu usaha untuk memulihkan sumber perikanan di lokasi pelancongan terbabit selain meningkatkan stok ikan di perairan darat Daerah Maran.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamuddin berkata, usaha yang dilaksanakan oleh Jabatan Perikanan Negeri Pahang ini merupakan inisiatif yang baik selepas lokasi tersebut terlibat dengan banjir besar pada awal tahun ini.

“Selepas banjir besar awal tahun, mungkin banyak ikan yang terlepas tetapi kita yakin dengan keadaan air yang jernih, kualiti air yang baik memang akan menjadi habitat semulajadi kepada pelbagai spesies ikan yang sukar lagi ditemui seperti ikan kelah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas Program Pelepasan Benih Ikan ke Perairan Umum dan Penyerahan Bantuan Benih Ikan Kepada Penternak Akuakultur Daerah Maran di Taman Eko Rimba Lubuk Yu, di sini hari ini.
Hadir sama ialah Pengarah Perikanan Negeri Pahang, Encik Abdullah Jaafar dan Pegawai Daerah Maran, YBhg Encik Sharuddin bin Jali.
Pada program sama, sebanyak 5,000 benih ikan talapia telah disampaikan kepada lima penternak ikan akuakultur di daerah tersebut.
YB Dato’ Sri Hajah Shahaniza berkata, Lubuk Yu yang kini tersenarai sebagai Taman Negeri terbaru di Pahang diharapkan dapat menjadi habitat kepada spesis-spesis ikan dan juga hidupan lain untuk menjadi warisan kepada generasi akan datang.
Sementara itu, Encik Abdullah berkata, usaha ini merupakan aktiviti yang sedia dirancang oleh Jabatan Perikanan bertujuan meningkatkan stok sumber perikanan sungai khususnya sekitar perairan darat (sungai) di Maran yang menjadi tempat mencari rezeki kepada nelayan-nelayan darat.
“Ikan ini diharap dapat membiak di sini dan akan memberi rezeki kepada nelayan-nelayan darat khususnya di Maran. Kita sentiasa membuat pelepasan umum ini secara berkala dengan tujuan supaya ikan-ikan sungai ini terjaga kerana di Pahang ini, kita mahu sumber perikanan darat atau sungai ini kekal menjadi sebahagian daripada sumber makanan kepada rakyat di negeri Pahang,” katanya.
Justeru beliau meminta agar orang ramai termasuklah nelayan supaya dapat mengelak daripada menggunakan peralatan yang destruktif atau merosakkan sumber perikanan seperti racun tuba, bahan letupan dan elektrik.
Encik Abdullah berkata, lebih daripada 1.5 juta benih ikan pelbagai spesies untuk pelepasan umum dan benih percuma kepada penternak akuakultur dikeluarkan setiap tahun dari Pusat Pengembangan Akuakultur Bukit Tinggi, Bentong, Pahang dan Pusat Pengembangan Akuakultur Perlok, Jerantut, Pahang. – PAHANGMEDIA