Oleh: Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
TEMERLOH, 4 SEPTEMBER 2021 : Penubuhan Jawatankuasa Khas Penyelesaian Skim Tanah Rakyat (JKPSTR) bakal dapat mempercepatkan urusan berkaitan permohonan tanah.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia seiring pertukaran nama Rancangan Tanah Kelompok (RTK) digantikan kepada Skim Tanah Rakyat (STR) seperti yang telah diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) pada 4 Ogos lalu.
“Kita dapati ia (kelulusan permohonan tanah) perlu dipercepatkan kerana ini adalah permintaan orang kampung terutamanya supaya mereka ada memiliki tanah untuk lot pertanian atau tapak kediaman.
“Kerajaan Negeri telah membuat keputusan supaya kita bahagi kepada tiga zon (wilayah) yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Pahang dan wakil Menteri Besar dalam Jawatankuasa tersebut.
“Dengan cara ini mereka perlu bermesyuarat sekurang-kurangnya sebulan sekali dan proses boleh dipercepatkan, permohonan akan (segera) dibawa ke PTG sebelum diangkat dalam MMK,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas majlis penyampaian suratan hakmilik tanah RTK Bukit Kuin dan RTK Mambang Berulang di Dewan UMNO Bahagian Temerloh, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Lanchang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar Haji Shamsudin; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Timbalan Yang Di Pertua Dewan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohamed Haji Jaafar serta Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Semantan, YB Dato’ Haji Azmi Mat Ludin.
Sementara itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, kelewatan kelulusan permohonan tanah selalunya melibatkan banyak perkara.
Antara kekangan ialah jumlah permohonan tanah yang banyak, di Pejabat Tanah dan Daerah pun berlaku kekurangan tenaga kerja sebab tanah yang dimohon perlu diperhalusi selain pemohon sukar dikesan dan sebagainya.
JKPSTR ini dibahagi kepada tiga wilayah iaitu wilayah timur (Kuantan, Pekan dan Rompin), wilayah tengah (Maran, Temerloh, Bera dan Jerantut), serta wilayah barat (Bentong, Raub, Lipis dan Cameron Highlands).
Tempoh kuatkuasa JKPTSR ialah 12 bulan bermula 4 Ogos 2021 hingga 3 Ogos 2022 dan dalam tempoh berkenaan, semua Pegawai Daerah selaku Pentadbir Tanah Daerah disarankan untuk memberi komitmen sepenuhnya dengan mengadakan mesyuarat JKPSTR secara aktif bagi menyelesaikan permohonan-permohonan tanah melalui skim ini.
Kewujudan jawatankuasa ini juga akan menyaksikan kelulusan permohonan disingkatkan daripada dua peringkat semakan jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Penapisan dan Jawatankuasa Pembangunan Tanah Daerah kepada satu peringkat jawatankuasa sahaja sebelum dibawa ke MMK. – PAHANGMEDIA