Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
TEMERLOH, 4 SEPTEMBER 2021 : Penerima geran di bawah Rancangan Tanah Kelompok (RTK) diingatkan agar tidak menjual hak pemilikan tanah yang diberikan oleh Kerajaan Negeri kepada mereka.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penerima geran dinasihatkan supaya menjaga aset berkenaan dengan baik dan tidak menjualnya demi keuntungan jangka pendek.
“Harapan saya yang pertama sekali, jangan jual tanah yang diberikan dan cepat bayar premium tanah kerana ia telah jadi hak milik mereka.
“Kalau boleh usahakanlah tanah yang diterima dengan sebaik mungkin..barulah ada hasil dan nampak nilai tambah tanah tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui UKOMP selepas Majlis Penyampaian Suratan hakmilik tanah RTK Bukit Kuin dan RTK Mambang Berulang di Dewan UMNO Bahagian Temerloh, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Lanchang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar Haji Shamsudin; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Timbalan Yang Di Pertua Dewan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohamed Haji Jaafar serta Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Semantan, YB Dato’ Haji Azmi Mat Ludin.
Pada majlis tersebut, seramai 332 orang peserta Rancangan Tanah Kelompok (RTK) di bawah Dewan Negeri (DN) Mentakab melibatkan 233 orang dari RTK Bukit Kuin dan 99 orang dari RTK Mambang Berulang.
Hanya 100 orang penerima dibenarkan hadir mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) majlis yang ditetapkan manakala selebihnya akan diminta hadir sendiri ke Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh untuk mengambil geran masing-masing.
Kegunaan tanah bagi RTK Bukit Kuin ialah sebagai tapak rumah, manakala bagi RTK Mambang Berulang ialah pertanian dusun. – PAHANGMEDIA