Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram

SIDANG DEWAN NEGERI: KERAJAAN NEGERI KOMITED BELA NASIB GOLONGAN LUAR BANDAR

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 25 OGOS 2021 : Kerajaan Negeri tidak meminggirkan golongan luar bandar melalui penyediaan prasarana yang berkualiti dan mencukupi sekaligus menyokong pembangunan ekonomi dan sosial luar bandar serta dapat mewujudkan persekitaran kehidupan yang kondusif.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram berkata, bagi tahun 2021, Kerajaan Negeri dengan kerjasama erat Pejabat Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Negeri Pahang telah dan sedang melaksanakan pelbagai projek dan program pembangunan fizikal serta sosial di kawasan luar bandar dengan peruntukan keseluruhan yang disalurkan berjumlah RM291.8 juta.

Ia merangkumi 64 buah projek melibatkan tiga bahagian utama Pembangunan Luar Bandar iaitu Prasarana, Kesejahteraan Rakyat, Pembangunan Tanah Dan Wilayah serta peruntukan kepada agensi-agensi KPLB di Negeri Pahang seperti Majlis Amanah rakyat (MARA), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

“Peruntukan untuk tahun 2021 ini adalah peningkatan sebanyak RM 56.9 juta (24. peratus) berbanding yang telah diperuntukkan untuk tahun 2020 iaitu RM 234.9 juta.

“Pelaksanaan pembangunan ini merangkumi pelbagai jenis projek seperti Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB), Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB), Program Ameniti Sosial (PAMS), Lampu Jalan Kampung (LJK), Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) serta Program Pemajuan Kawasan (PPK),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Dalam pada itu, beliau mewakili seluruh masyarakat Orang Asli negeri Pahang mengucapkan jutaan terima kasih di atas keperihatinan Kerajaan Negeri Pahang dibawah kepimpinan YAB Menteri Besar atas sumbangan wang tunai berjumlah RM 240,000 dan sumbangan bakul makanan bantuan Prihatin Pahang 2.0 dengan jumlah RM 1.5 juta.

“Saya juga ingin menzahirkan ucapan ribuan terima kasih kepada JAKOA Pahang di atas kejayaan menjalankan Program Bantuan Rumah masyarakat Orang Asli bagi tahun 2021 melibatkan peruntukan sebanyak RM 1.26 juta di mana 16 unit rumah telah dibina baru dan 28 unit rumah dibaik pulih.

“Kerajaan Negeri dan JAKOA Pahang sentiasa memantau dan mengambil maklum situasi dan kemaslahatan masyarakat Orang Asli negeri Pahang dengan pelbagai perancangan pembangunan, sosioekonomi, pendidikan dan kebajikan agar kemakmuran hidup dapat dinikmati oleh mereka bersama,” katanya.

Menyentuh berkenaan cadangan mewujudkan tadika di kawasan Orang Asli yang diutarakan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Padang Tengku, YB Dato’ Mustafa Long (BN), beliau berkata faktor pendidikan Orang Asli sentiasa dijaga rapi di mana sepanjang tahun Kerajaan Negeri bersama JAKOA akan memperuntukkan projek bina baru tabika dan baik pulih tabika JAKOA bagi memastikan tiada yang tercicir.

“Sebagai contoh, bagi tahun 2021 telah dicadangkan projek bina baru tabika yang menelan kos RM1 juta seunit di dua kampung Orang Asli di Daerah Lipis iaitu Kampung Orang Asli Sungai Garam dan Sempar.

“Cadangan YB Padang Tengku untuk projek-projek pembinaan dan naiktaraf infrastruktur dan kemudahan asas di kawasan Kampung Bencah Kelubi juga telah diambil maklum oleh Kerajaan Negeri dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang bersama JAKOA akan memohon kepada pihak KPLB Negeri agar projek-projek ini dijadikan keutamaan dan dapat dilaksanakan pada tahun 2021/2022,” katanya.

Sementara itu, YB. Dato’ Abd Aziz menegaskan bahawa Kerajaan Negeri sangat komited dalam menjaga kebajikan serta kepentingan Orang Asli termasuk berkenaan isu pewartaan tanah.

“Kerajaan Negeri dan JAKOA sentiasa bekerjasama untuk mengangkat keperluan kewangan bagi menyelesaikan kerja pengukuran kawasan 139 buah Kampung Orang Asli bagi pewartaan di bawah Seksyen 6 Akta 134 secepat mungkin melalui Kerajaan Persekutuan secara tahunan berdasarkan perancangan RMK-12 dan seterusnya.

“Kerjasama erat antara pihak berkepentingan seperti Jabatan Perhutanan, Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK), pihak swasta dan pihak persendirian juga amat diperlukan bagi memastikan pewartaan kawasan kesemua 264 perkampungan Orang Asli di Pahang selesai tanpa sebarang pertikaian pada masa akan datang kerana terdapat sebahagian kecil kawasan Orang Asli ini telah bertindih dengan kawasan seperti Rizab Hutan, hak milik pertubuhan, hak milik swasta dan sebagainya,”katanya.

Ia menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Ketari, YB Puan Syefura Othman yang bertanyakan berkenaan perkembangan pewartaan tanah Orang Asli oleh Kerajaan Negeri Pahang.

Sementara itu, beliau menjelaskan Kerajaan Negeri Pahang telah menjenamakan semula 543 buah Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di seluruh negeri Pahang kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

“Kesemua 543 buah organisasi JPKK di negeri ini menunjukkan prestasi yang baik walaupun diuji dengan pelbagai cabaran dan dugaan sebagai contoh, perubahan pentadbiran Kerajaan Persekutuan, penularan wabak berbahaya pandemik COVID-19 dan sebagainya,”katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download