Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain

SIDANG DEWAN NEGERI: KERAJAAN NEGERI TUMPU USAHA BANGUNKAN BELIA

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 25 OGOS 2021 : Keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan akibat pandemik COVID-19 memberi kesan kepada setiap golongan termasuk para graduan dan juga anak-anak muda lain.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain berkata, pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan nasib golongan tersebut terbela dan kemahiran dapat ditingkatkan.

“Sebagai contoh, pada tahun ini beberapa program yang telah dilaksanakan bagi meningkatkan kemahiran anak muda adalah seperti berikut Jobs@Pahang – Offshore Marine in Hospitality Management, Gradpreneur@Pahang – Business Junior, dan Gradpreneur@Pahang – Niaga.Com.

“Kesemua program ini adalah tajaan sepenuhnya Kementerian Pengajian Tinggi dan dilaksanakan oleh Universiti Malaysia Pahang dan Kolej Yayasan Pahang di mana ia terbuka kepada lepasan Diploma dan Ijazah, Graduan Anak Pahang dan mempunyai semangat keusahawanan yang tinggi, manakala Skim Perantisan Nasional yang dilaksanakan oleh Jabatan Belia dan Sukan pula adalah sebahagian daripada Pelan Pemulihan Anak Muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan ADN Pulau Manis dan ADN Sungai Lembing berkenaan masa depan golongan belia ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini hari ini.

Sementara itu, menjawab soalan ADN Teruntum berkenaan bantuan NGO di negeri ini, sejumlah RM15.2 juta telah diperuntukan kepada NGO serta kelab dan persatuan dalam tempoh 2018 hingga 2020.

“Permohonan melibatkan program atau aktiviti yang menunjukkan impak positif dan memberi nilai tambah kepada sosial ekonomi masyarakat akan diberi keutamaan dan kelulusan peruntukan akan ditentukan bedasarkan kesediaan peruntukan semasa negeri,” katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah menubuhkan satu Jawatankuasa Khas yang dikenali sebagai Pahang Labour Council dan sentiasa mengadakan engagement di antara pihak industri dan juga pusat kemahiran di Negeri Pahang bagi memastikan kursus yang ditawarkan adalah memenuhi keperluan industri

“Ini menjawab isu yang dibangkitkan oleh ADN Beserah di mana sumber manusia juga merupakan nadi kepada pembangunan sesebuah negeri dan Kerajaan Negeri sedar mengenai keperluan untuk mempunyai perancangan dan pengisian sumber manusia yang mencukupi khususnya bagi memenuhi pekerja teknikal bagi keperluan para pelabur,” katanya.

Sementara itu, seiring dengan saranan KDYMM Pemangku Raja Pahang, Kerajaan Negeri turut menumpukan penglibatan anak muda dalam usahawan pertanian dengan gandingan Jabatan Belia dan Sukan serta Jabatan Pertanian dalam memberikan sokongan dan dorong berbentuk latihan oleh agensi berkaitan.

“Usahawan muda pertanian atau Agroprenuer ini boleh memperkembangkan teknologi baru dalam bidang pertanian dan penternakan.

“Sebagai contoh agroprenuer muda boleh memperkembangkan teknologi tanaman menggunakan sistem hidroponik yang kini digunakan secara meluas dalam tanaman sayuran. Walaupun dibuat dalam skala kecil tetapi penglibatan anak muda adalah secara berkelompok, maka ianya akan memberikan hasil yang tinggi kepada peserta,” katanya.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan berkenaan beberapa perancangan program dan aktiviti sempena sambutan Jubli Emas Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP) pada tahun hadapan.

“Antaranya ialah Sekolah Kepimpinan Tun Abdul Razak (SEKTAR) yang wujud dengan tujuan melatih kira-kira 300 orang belia menjadi pemimpin masa hadapan bagi negeri ini. Program yang dijadualkan selama tiga bulan ini akan memberikan pendedahan kepada pelatih dari pelbagai aspek kepimpinan dan ketrampilan sekaligus memastikan pelatih mempunyai kemahiran menyeluruh sebagai pemimpin muda pelapis negeri ini.

“Kedua ialah Dewan Belia Pahang seperti yang dianjurkan pada tahun 2019. Ia menjadi medium untuk mengangkat suara anak muda Pahang dan salah satu program kepimpinan yang turut menjadi kelangsungan Sekolah Kepimpinan Tun Abdul Razak,” katanya.

Program lain ialah melibatkan usaha mengatasi pengangguran melalui Program Kemahiran Insaniah (PROKENS) Negeri Pahang melibatkan latihan kemahiran insaniah (soft skills) yang amat diperlukan khusus untuk membantu belia didalam upskilling dan reskilling, iaitu kemahiran yang amat diperlukan buat masa sekarang. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download