Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 24 OGOS 2021 : Kerajaan Pahang bukan sahaja memberikan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat sejak negara dilanda pandemik COVID-19 tetapi juga turut merancang untuk menyediakan latihan kepada golongan sasar bagi mempersiapkan mereka untuk menghadapi suasana ekonomi di dalam norma baharu.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin berkata, Kerajaan Pahang bukan sahaja memberikan bantuan secara ‘one-off’ tetapi turut menganjurkan program latihan secara maya atas talian.
“Banyak sekali latihan yang kita berikan di atas talian secara maya kepada belia-belia kita, wanita dan ibu tunggal untuk memberikan mereka pengetahuan sebagaimana disebut di dalam titah semalam dan sememangnya ada cara baru untuk kita membuat pemasaran, perdagangan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Long pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sejumlah RM23,872,150 menerusi Bantuan Prihatin Pahang (BPP) yang diberikan melalui tiga fasa secara bersasar kepada rakyat negeri ini.
Jumlah penerima termasuklah seramai 2,169 warga emas dan 20,757 Orang Kurang Upaya (OKU) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menerima sumbangan ‘one-off’ sebanyak RM250 seorang.
Kerajaan Negeri juga memberikan bantuan dalam bentuk barangan keperluan bernilai RM50 dan wang tunai ‘one-off’ sebanyak RM100 kepada 11,099 orang peniaga kecil, 824 pemandu teksi, 6,133 pekerja khidmat penghantaran (COD) dan 1,209 pemandu / penunggang e-hailing.
Katanya, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) turut digalak membuka peluang pekerjaan selain membantu perusahaan atau perniagaan yang dijalankan oleh orang ramai yang terjejas pendapatan. – PAHANGMEDIA