Oleh: Fairus Mohd
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 24 OGOS 2021 : Usaha berterusan Kerajaan Pahang dalam membantu rakyat terutamanya sejak pandemik COVID-19 melanda tahun lalu menjadikan rakyat di negeri ini lebih tenang melalui kesulitan hidup.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Lembing, YB. Dato’ Md. Sohaimi Mohamed Shah (BN) berkata, ucapan tahniah ditujukan kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail kerana walaupun seluruh rakyat terkesan akibat COVID-19 namun secara umumnya negeri ini aman tanpa sebarang kekecohan.
“Kerajaan Negeri dilihat sentiasa mencari penyelesaian berkenaan pengekangan wabak dan daripada segi bantuan pula, jelas sekali Kerajaan Negeri sudah buat yang terbaik.
“Dengan kerjasama NGO, syarikat-syarikat korporat serta tabung-tabung infaq di peringkat kampung, masjid dan surau semuanya meredakan keresahan rakyat,” katanya ketika sesi perbahasan pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Sidang Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menjunjung tinggi keprihatinan KDYMM Pemangku Raja Pahang yang mengambil berat mengenai perkembangan semasa sama ada di negara mahupun negeri ini sendiri.
“Baginda dalam titah ucapan jelas membawa pengharapan sangat besar dan tinggi terhadap kepimipinan Kerajaan Negeri bawah YAB Menteri Besar dari segi menambah pendapatan perolehan negeri, peruntukan serta ketegasan integriti.
“Baginda turut menekankan bahawa dalam menghadapi kemelut pandemik COVID-19 kini kita memerlukan kepimpinan yang kuat semangat untuk selesaikan segala masalah yang ada,” katanya.
Beliau juga berharap juga agar keindahan alam semula jadi Sungai Lembing termasuk di kawasan rekreasi Bukit Panorama dan Bukit Raja dapat dikekalkan tanpa sebarang projek kerosakan.
“Sungai Lembing terkenal dengan alam semulajadi, baru-baru ini empat kali berlaku banjir, jadi ada aduan daripada masyarakat berkenaan aktiviti perlombongan yang merosakkan pemandangan.
“Saya harap mana-mana aktiviti pembangunan dan perlombongan dijalankan dengan teliti dan saksama seiring pesanan KDYMM Pemangku Raja Pahang agar menekankan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus atau Environmental, Social and Governance (ESG),” katanya. – PAHANGMEDIA