Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 16 OGOS 2021 : Nasib dan kesukaran hidup yang dihadapi oleh komuniti gelandangan dan rentan di sekitar daerah Kuantan bukan sekadar mendapat perhatian daripada Kerajaan Pahang yang tidak putus menyumbang pelbagai bentuk bantuan.
Malah kini usaha tersebut diteruskan lagi bagi membantu mereka agar dapat berdikari dalam membangunkan sosio ekonomi dan taraf hidup mereka.
Kerajaan Pahang dengan kerjasama beberapa agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) termasuklah Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Yayasan Pahang dan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) diterajui oleh NGO Pertubuhan Dapur Infaq Ummah Kuantan telah melaksanakan Projek Tanaman Fertigasi Cili Bara bagi komuniti gelandangan dan rentan di Jalan Wong Ah Jang dan Jalan Pasar.
Projek rintis ini melibatkan seramai lima peserta di kalangan gelandangan dan rentan bertujuan membantu mereka mengubah landskap kehidupan untuk melahirkan komuniti yang lebih baik.
Timbalan Pengerusi Pertubuhan Dapur Infaq Ummah Kuantan, Al-Fadhil Ustaz Badrul Jamili Kamaruddin berkata, program ini dapat membuka peluang pekerjaan kepada peserta terpilih dalam usaha mengubah sosioekonomi mereka ke arah yang lebih baik dengan memperoleh pendapatan dan tempat tinggal yang baik.
“Kita latih mereka untuk menjadi seorang usahawan iaitu dengan program fertigasi inilah dan selepas ini sekiranya mereka berjaya dan mereka dapat membawa rakan-rakan lain untuk kita buat lagi di tempat-tempat lain dan ini juga akan mengubah landskap sosial di sekitar Jalan Pasar dan juga Jalan Wong Ah Jang secara umumnya Bandaraya Kuantan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) ketika ditemui di tapak Projek Tanaman Fertigasi Cili Bara bagi komuniti gelandangan dan rentan di Jalan Wong Ah Jang dan Jalan Pasar, di sini, hari ini.
Berdasarkan tinjauan, projek tersebut kini sedang dipersiapkan dengan peralatan dan perkakasan fertigasi sebelum anak pokok cili bara ditanam di dalam 2,000 polibag yang disediakan dan akan dipantau oleh konsultan yang dilantik oleh Kerajaan Pahang.
Projek ini dijangka dapat menuai hasil pertamanya menjelang penghujung November dan awal Disember tahun ini dengan 600kg cili bara dapat dihasilkan setiap bulan yang membolehkan pesertanya memperoleh pendapatan kira-kira RM2,000 setiap seorang.
Projek ini adalah unik dan berbeza dengan perusahaan pertanian lain kerana lokasinya terletak di tengah-tengah bandar Kuantan bagi membolehkan peserta terbabit terus komited terhadap projek fertigasi ini di samping terus kekal berada di dalam komuniti mereka untuk menarik lebih ramai penglibatan di kalangan komuniti gelandangan dan rentan.
Beliau berharap projek rintis ini akan memperoleh kejayaan dan menggalakkan lebih ramai komuniti terbabit untuk sama-sama menyertai berbagai projek yang telah direncanakan selepas ini khusus untuk kaum wanita dan golongan ibu.

“Saya ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada pihak Kerajaan Pahang, kepada Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP), Yayasan Pahang dan juga Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan semua yang menyokong kami untuk menjayakan program ini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin berkata, projek yang dilaksanakan ini merupakan projek intervensi sosial yang diadakan Bandaraya Kuantan.
“Kita percaya program bersepadu seperti ini bukan sahaja dapat mengubah kehidupan komuniti gelandangan dan rentan ini tetapi juga dapat mengubah landskap dan persekitaran Bandaraya Kuantan ini menjadi bandaraya contoh kepada tempat lain kerana projek ini adalah unik dan ada kelainannya daripada tempat lain,” katanya. – PAHANGMEDIA