Oleh: Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim
TEMERLOH, 16 OGOS 2021: Perhatian yang diberikan kepada Murid Bekeperluan Khas oleh Kerajaan Pahang melalui Bantuan Prihatin Pahang amat dihargai setiap penerimanya.

Penyampaian bantuan kepada penerima di bawah Dewan Negeri Lanchang telah dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar Haji Shamsudin di sini.
Penerima, Puan Habsah Mohamad, 61, dari Felda Kampung Bukit Damar berkata, bantuan khas untuk anaknya itu amat dihargai.
“Saya seorang ibu tunggal dan menyara hidup dengan hasil sawit. Dua orang anak telah berkahwin manakala tiga lagi tinggal bersama saya.
“Anak bongsu saya, Mohd Zainal Yahya, 18, mengalami masalah pembelajaran dan bantuan ini sedikit sebanyak meringankan beban kami sekeluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.

Turut mempunyai anak masalah sama, Puan Rohana Ramli, 47, menghargai ingatan daripada Kerajaan Negeri kepada anak-anak istimewa ini.
“Anak saya, Mohd Amir Firdaus Ahmad Fadzillah, 15, bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lanchang dan berada dalam kelas khas.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana sudi memberi perhatian kepada golongan anak-anak istimewa ini apatah lagi kehidupan dilalui agak sukar ketika pandemik melanda sejak tahun lalu,” katanya.
Bagi Puan Nurlatifah Abdullah, 48, yang merupakan tukang cuci di SMK Lanchang, pemberian tersebut amat bermakna kepadanya dan keluarga.

“Bantuan ini meringankan beban kami selain membantu tampung belanja selain pendapatan suami, Ishak Lalu, 53, yang mencari rezeki sebagai tukang potong ayam di pasar.
“Anak bongsu kami, Shahrizan Abdullah, 15, mengalami masalah pembelajaran dan memerlukan lebih perhatian berbanding enam lagi anak yang lain,” katanya. – PAHANGMEDIA