UMNO Indera Mahkota dan PAS Beserah mewakili Muafakat Nasional (MN) bersama MCA mengambil inisiatif segera menyumbangkan sebanyak 100 kotak kertas A4 kepada Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

UMNO BERSAMA PAS DAN MCA SUMBANG 100 KOTAK KERTAS A4 KEPADA HTAA

Oleh: Mahathir Ali

KUANTAN, 14 OGOS 2021: UMNO Indera Mahkota dan PAS Beserah mewakili Muafakat Nasional (MN) bersama MCA mengambil inisiatif segera menyumbangkan sebanyak 100 kotak kertas A4 kepada Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Sumbangan berkenaan berikutan hospital berkenaan kehabisan bekalan kertas A4 untuk pelbagai urusan terutamanya dokumentasi di empat buah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di daerah ini.

Sumbangan itu disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, YB Andansura Rabu kepada Ketua Penolong Pengarah (Sumber Manusia) HTAA, Puan Asma Mahiddin di pekarangan hospital berkenaan.

Yang hadir sama, Timbalan Ketua UMNO Indera Mahkota, YH. Dato’ Dr. Johan Mohd. Shah dan Timbalan Pengerusi Pergerakan Wanita MCA Bahagian Indera Mahkota, YH. Dato’ Kwang Swee Yuen.

YH. Dato’ Dr. Johan yang juga Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat HTAA berkata, pihaknya menerima permohonan daripada Kelab Kebajikan dan Sukan hospital tersebut yang memaklumkan berhubung kekurangan bekalan kertas A4.

Jelasnya, beliau difahamkan penggunaan bahan itu adalah amat tinggi pada setiap hari terutamanya untuk urusan dokumentasi pesakit COVID-19.

“Sebagai contoh, setiap hari empat keping kertas A4 digunakan untuk seorang pesakit, jika 1,000 pesakit sehari kertas digunakan 4,000 keping malah mungkin lebih.

“Kalau jumlah pesakit lebih daripada 1,000 orang, lagi banyak kertas A4 yang digunakan, oleh sebab itu kertas A4 merupakan keperluan mendesak yang amat penting di hospital yang menguruskan PKRC,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, YB Andansura berkata, buat permulaan ini, PAS dan UMNO mewakili Muafakat Nasional (MN) bersama MCA menyumbang lebih 100 kotak kertas A4 kepada Kelab Kebajikan dan Sukan HTAA.

Menurutnya, diharap menerusi sumbangan itu, ia dapat membantu urusan pihak hospital sekali gus mengurangkan tekanan dan kekangan mereka ketika mengendalikan urusan harian di setiap PKRC.

“Kita berharap pihak-pihak tertentu juga akan tampil dan turut sama membantu dalam kita mengharungi pandemik COVID-19 ini bersama-sama,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download