Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato' Abd Rahim Muda (dua dari kanan) meminta rakyat memasang bendara untuk meraikan semangat cintakan negara.

TIADA DENDA, KOMPAUN KEPADA PEMILIK PREMIS YANG TIDAK MENGIBARKAN JALUR GEMILANG

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd. Rahim

KUANTAN, 15 OGOS 2021 : Tiada sebarang denda atau kompaun akan dikenakan kepada pemilik premis perniagaan yang tidak mengibarkan Jalur Gemilang negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda berkata namun demikian mereka di nasihatkan supaya patuh kepada syarat sah lesen yang dikeluarkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda

“Sebenarnya dalam syarat lesen telah dinyatakan kewajipan pada peniaga apabila sambutan bulan Kemerdekaan, hari Keputeraan, mereka ini wajib memasang bendera sama ada bendera negeri ataupun Jalur Gemilang. Jadi itulah syarat wajib sebenarnya.

“Dari segi tindakan, kita sebenarnya tidak mahu sangatlah mengambil tindakan ini, dari segi kompaun dan sebagainya, yang penting kita nasihat (untuk memasang Jalur Gemilang),” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di Pejabat Dewan Negeri (DN) Lepar.

Menurut beliau, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga telah diarahkan untuk memberi nasihat kepada pemilik premis yang masih belum mengibarkan Jalur Gemilang.

Beliau turut menyeru pemilik premis untuk mengibarkan Jalur Gemilang di premis perniagaan mereka bermula 16 Ogos sehingga 16 September sebagaimana biasa.

“Saya perhatikan pemasangan bendera kebelakangan ini tidak cerialah berbanding sebelum ini. Mungkin juga kerana ada premis yang telah ditutup dan mereka tidak memasang bendera.

“Cuma nasihat saya pasanglah bendera di premis perniagaan masing-masing walaupun premis ditutup dan nasihat kepada peniaga-peniaga ini supaya dapat melaksanakan tanggungjawab kepada negeri, negara yang kita cintai,” katanya.

Sementara itu, katanya kadar pemasangan bendera jalur gemilang di premis perniagaan di negeri ini dilihat meningkat sebanyak 40 peratus berbanding 20 peratus sebelum ini.

Beliau turut mengharapkan pemasangan Jalur Gemilang di premis perniagaan akan mencapai 100 peratus tidak lama lagi.

“Kita anggap sehingga 16 September, saya harapkan supaya 100 peratus (premis perniagaan) akan dipasanglah (Jalur Gemilang) sebagaimana biasa dilaksanakan dalam perintah pada tahun-tahun yang lalu,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download