Oleh: Mahathir Ali
PEKAN, 14 OGOS 2021: UMNO Bahagian Pekan amat beruntung YAB Menteri Besar Pahang yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang sentiasa menyokong segala usaha dan gerak kerja untuk membantu rakyat.
Bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan, YB Dato’ Sri Najib Tun Razak berkata, ini juga merupakan satu rahmat kepada kita semua di Pekan kerana YAB Menteri Besar sering membantu sekaligus memberi kesan terhadap apa jua usaha untuk membantu rakyat di Pekan ini.
“Ini jelas terbukti YAB Menteri Besar sentiasa mengambil berat tentang kita di Pekan ini malah di seluruh Pahang,” katanya ketika berucap sempena Program Sembang Petang Secara Online Bersama Kepimpinan UMNO Pekan di Pejabat UMNO Pekan semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.
Beliau berkata lagi, YAB Menteri Besar sentiasa sering turun padang mendampingi rakyat tanpa mengira pegangan politik, agama dan bangsa.
Sementara itu, YB Dato’ Sri Najib Razak juga mengingatkan semua pemimpin UMNO untuk terus bekerja keras, mendampingi rakyat, berhubung dengan rakyat, selami masalah mereka dan bantu mereka sebaik mungkin.
“Gunakan teknologi komunikasi terkini seperti media sosial untuk mencari dan bersama mereka.
“Inilah senjata utama UMNO Pekan yang telah terbukti selama ini berjaya mencapai kejayaan cemerlang dalam setiap pilihanraya dan muncul sebagai parlimen yang pernah menang dengan majoriti tertinggi beberapa kali,” katanya.
Beliau berkata, negara hari ini berada dalam keadaan yang tidak menentu dan pertama kali berlaku dalam sejarah negara, keabsahan sebuah kerajaan hari ini berada dalam pertikaian. – PAHANGMEDIA