Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 26 JULAI 2021 : Isu penghataran barangan dan makanan kepada penduduk di kawasan terlibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang perlu dilakukan di Serambi Teruntum adalah satu kelonggaran Kerajaan Pahang kepada penduduk terlibat.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH. Dato’ Hamdan Hussin ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) berkata ini kerana tiada pergerakkan yang tidak penting sepatutnya berlaku di dalam kawasan PKPD.

“Kalau ikutkan kita dah bagi kelonggaran sedikit kepada mereka untuk keluar mengambil barangan di tempat yang disediakan. Malah kita dengan kerjasama pihak polis turut menyediakan meja dan kerusi bagi tujuan ini.
“Kalau mengikut prosedur operasi standard (SOP) kawasan PKPD, mereka tidak boleh bergerak bebas dan keluar dari kediaman masing-masing, begitu juga orang luar tidak dibenarkan sama sekali untuk masuk ke kawasan PKPD,” katanya.
Menurut beliau lagi, pihaknya meminta penduduk terlibat supaya bersabar dalam tempoh 14 hari pelaksanaan PKPD ini yang bertujuan menjaga keselamatan para penduduk.
“Kita minta bersabar dalam 14 hari sahaja sementara kawasan mereka ini masih kawasan merah, kawasan panas dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi. Tunggu kawasan ini diumumkan putih kembali.
“Kita minta mereka berada di dalam rumah masing-masing dan tidak keluar jika tiada perkara yang penting. Kalau boleh, barangan yang tidak penting macam nak beli cermin, baju, hold (tangguh) dulu sehingga PKPD ditamatkan,” katanya,” katanya.

Beliau berkata penguatkuasaan PKPD telah mengambil kira semua faktor kawasan terlibat dan pihaknya juga yakin keperluan asas bagi penduduk di dalam kawasan tersebut juga mencukupi dalam tempoh pelaksanaannya.
“Dan jika dilihat di PKPD terlibat, kita dah pastikan ada kedai atau pasaraya yang dapat membekalkan keperluan asas ini kepada penduduk.
“Tetapi jika dilihat, penduduk turut order (pesan) makanan luar yang perlu dihantar oleh penghantar makanan seumpama ini bukan kawasan merah.
“Kita minta masyarakat yang terlibat PKPD faham kenapa PKPD ini dilaksanakan di kawasan mereka dan kita juga meminta mereka supaya tidak expose diri mereka dengan bahaya jangkitan COVID-19 ini,” katanya. -PAHANGMEDIA