Sukarelawan MPWP dari setiap daerah di seluruh negeri Pahang turun padang membantu penduduk di kawasan masing-masing yang tidak mempunyai kenderaan untuk ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

SUKARELAWAN SURI PRIHATIN COVID-19 SEDIA KHIDMAT HANTAR KE PPV

Oleh: Fairus Mohd

KUANTAN, 26 JULAI 2021 : Baru sebulan memulakan program, Suri Prihatin Covid-19 di bawah Majlis Pembangunan Wanita Pahang (MPWP) sudah giat menabur khidmat.

Sukarelawan MPWP dari setiap daerah di seluruh negeri Pahang turun padang membantu penduduk di kawasan masing-masing yang tidak mempunyai kenderaan untuk ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang yang juga Pengerusi MPWP, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin berkata, ia adalah inisiatif berterusan bagi membantu rakyat terutamanya pada musim pandemik ini untuk mendapatkan vaksin.

“Kita faham bahawa ada rakyat yang mengalami kesukaran untuk ke PPV, sama ada tiada kenderaan mahu pun memerlukan bantuan untuk ambil vaksin kerana uzur atau kurang berdaya.

“Jadi sukarelawan-sukarelawan ini lah yang bersedia dengan kenderaan masing-masing untuk membawa sesiapa sahaja yang tidak mampu atau tidak ada kenderaan untuk ke PPV secara percuma.

Sukarelawan MPWP dari setiap daerah di seluruh negeri Pahang turun padang membantu penduduk di kawasan masing-masing yang tidak mempunyai kenderaan untuk ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Selalunya mereka yang tiada kenderaan, warga emas, OKU yang tiada penjaga atau pun masalah anak tidak dapat pulang untuk uruskan ibu bapa ke PPV,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap agar rakyat yang memerlukan di setiap daerah dapat memanfaatkan perkhidmatan yang disediakan bagi membantu mereka.

Sementara itu, Encik Halim Husin dari Kampung Kempadang, Kuantan berterima kasih kepada sukarelawan terlibat kerana membantunya untuk mendapatkan suntikan vaksin di KPJ Kuantan.

“Terima kasih kerana sediakan perkhidmatan sebegini, selain kenderaan yang disediakan para sukarelawan sangat membantu saya yang bertongkat dan tidak dapat bergerak dengan baik,” katanya.

Bagi suami isteri dari Sungai Koyan, Raub, Encik Alias Abas dan Puan Yani Mohd menyifatkan kemudahan sebegini sangat membantu mereka.

“Ketiadaan kenderaan tidak menghalang kami untuk mendapatkan suntikan vaksin di PPV Dewan Jubli Raub mengikut tarikh dan waktu temujanji yang ditetapkan kerana adanya sukarelawan-sukarelawan ini yang sudi membantu. Terima kasih kami ucapkan,” katanya.

Turut bersyukur ialah pasangan suami isteri, Encik Mat Jusoh Mamat dan Puan Che Zainun Che Abdullah dari Kampung Bukit Palas, Cherating Kuantan yang mendapat suntikan vaksin di Wisma Belia Kuantan.

“Khidmat sukarelawan sebegini membantu memudahkan kami yang memerlukan, apatah lagi pada musim pandemik ini tidak mudah untuk kami bergerak ke mana-mana tanpa kenderaan,” katanya

Puan Faridah Hanim Mahmud dari Taman Muhibbah, Jalan Cheroh Raub yang mendapatkan suntikan vaksin di PPV UiTM Raub berkata, sukarelawan ini sangat membantu terutamanya apabila anak atau ahli keluarga tidak dapat pulang untuk menguruskan mereka mendapatkan vaksin.

“Sudah pasti saya berterima kasih kepada MPWP yang muncul dengan idea mulia sebegini sekaligus membantu penduduk yang memerlukan bantuan untuk mendapatkan vaksin mengikut temujanji yang diberikan,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download