Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 22 JULAI 2021 : Vaksinasi merupakan salah satu usaha dan insiatif terbaik bagi melindungi diri daripada dijangkiti varian berbahaya dan membimbangkan iaitu varian Delta.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Negeri Lanchang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsuddin berkata, vaksinasi dapat meningkatkan kekuatan antibodi tubuh untuk melawan jangkitan varian berbahaya tersebut apabila imuniti kelompok dapat diwujudkan sekali gus dapat menghentikan penularannya.

“Kitalah yang bertanggungjawab untuk membina imuniti kelompok sekali gus menghindarkan diri dan keluarga daripada dijangkitit varian yang berbahaya tersebut.
“Saya mengingatkan kepada seluruh rakyat di Pahang termasuk di daerah Temerloh supaya berhati-hati dengan kemunculan varian Delta ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, baru-baru ini.
Dalam hantaran itu juga, beliau turut mengingatkan kepada orang ramai supaya meningkatkan kesedaran selain berhati-hati dengan varian Delta, patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak berlengah bagi mendapatkan perlindungan diri dengan vaksin. – PAHANGMEDIA