Oleh : Shazli Sufi Che Unik
KUANTAN, 22 JULAI 2021: Pihak berkuasa akan mengambil tindakan yang lebih tegas sekiranya kes jangkitan COVID-19 di Pahang terus meningkat.
Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pahang, YBhg. Encik Zairasyahli Shah Zakaria berkata, laporan kes jangkitan COVID-19 di Pahang semalam ialah 603 kes dan daerah Kuantan sahaja mencatatkan 206 kes baharu.

“Jika kes semakin terus meningkat terutama di Daerah Kuantan, ada kemungkinan besar kita terpaksa ambil tindakan yang lebih tegas lagi,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang hari ini.
Beliau berkata, orang ramai dapat mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dan tidak sepatutnya berlaku kes mereka yang berada dikawasan PKPD yang ‘curi-curi’ keluar daripada kawasan tersebut dengan pelbagai cara.
“Ini dibimbangi mereka yang melakukan perbuatan tersebut menjadi punca kepada tersebarnya wabak COVID-19 dikawasan lain,” tegasnya.
Sementara itu, jelasnya lagi, pihak berkuasa membuat keputusan untuk menetapkan satu satu kawasan itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah berdasarkan laporan jangkitan COVID-19 di satu satu lokaliti tersebut.
“Pihak berkuasa juga akan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat mana-mana individu yang didapati melanggar SOP PKPD dengan sengaja, ini bagi memastikan jangkitan dapat dibendung dan kes jangkitan COVID-19 menurun,” katanya.
Beliau juga berharap mereka yang berada dikawasan PKPD untuk terus berada di kediaman masin- masing kerana ia melibatkan kepentingan umum dan sekiranya kes dilihat terus meningkat dan masyarakat masih lagi ingkar dengan SOP yang ditetapkan, pihak berkuasa kemungkinan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh bagi Daerah Kuantan. – PAHANGMEDIA